Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 MAC – Sebagai tradisi tahunan mereka bagi memeriahkan bulan Ramadan bersama golongan anak-anak yatim, ahli-ahli pengakap dan pemimpin dari Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) bersama Baden Powell Guild (BP Guild) telah mengadakan acara Doa Tahlil dan Sungkai baru-baru ini.
Majlis berlangsung di ibu pejabat persatuan di Jalan Maulana, Kuala Belait, yang dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali sebagai tetamu kehormat yang ditemani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi.
Mereka bersama anak-anak yatim, pemimpin dan ahli-ahli pengakap yang hadir disambut oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili.
Acara dimulai dengan bacaan tahlil, diikuti dengan ucapan singkat yang disampaikan oleh pengerusi acara, Dayang Siti Aishah binti Abdullah.
Beliau menjelaskan bagaimana acara ini dapat membantu memeriahkan bulan Ramadan dengan berbuka puasa bersama-sama sambil memberikan bantuan bagi mengurangkan beban mereka.
“Pertemuan ini mewakili aktiviti pertama yang PPDB akan lakukan sepanjang bulan Ramadan, termasuk memasak bubur kacang yang akan diedarkan ke masjid-masjid di seluruh Daerah Belait, yang juga akan diadakan pada bulan ini,” jelasnya.
Beliau juga menambah bahawa aktiviti-aktiviti lain yang akan dijalankan oleh PPDB termasuk kempen pembersihan di lokasi-lokasi utama bagi membantu memeriahkan bulan Ramadan dalam menyumbang kembali kepada masyarakat, membantu mereka yang memerlukan serta melakukan amalan yang baik.
Setelah ucapan tersebut, acara dilanjutkan dengan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim yang disusuli dengan majlis berbuka puasa.