Berbuka dalam banjir

BUKIT MERTAJAM, 27 APRIL – Penduduk Taman Mangga di sini terpaksa berbuka puasa dalam banjir ketika azan Maghrib berkumandang selepas rumah mereka dimasuki air susulan hujan lebat lebih tiga jam dan tembok parit konkrit di taman perumahan itu pecah, malam tadi.

Lebih 50 rumah di taman itu dimasuki air malah penghuninya juga tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik dan perabot kerana air mengalir ke dalam rumah mereka dengan cepat susulan hujan lebat yang bermula pada 4 petang hingga 7 malam.

Seorang penduduk, Sharizam Abu Othman, 37, berkata banjir kilat yang berlaku semalam merupakan dugaan kepada keluarganya pada bulan Ramadan ketika berbuka puasa dan mereka pernah menempuh pengalaman pahit serupa dalam banjir besar yang melanda kawasan itu pada 2016.

“Air banjir naik sangat cepat dan mendadak, saya sekeluarga tidak sempat selamatkan apa-apa dan masa itu hanya fikir keselamatan sahaja. Bila kami keluar dari rumah dan tengok kat belakang, jiran beritahu ban tempat takungan air untuk tadahan banjir dah pecah… sebab itu kawasan rumah kami dilanda banjir.

“Lagipun kawasan perumahan kami agak rendah dan rumah akan dilanda banjir kilat kalau hujan lebat lebih dua jam,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di Perkampungan Juru di sini hari ini.

Sejumlah 115 orang daripada 27 keluarga di Taman Mangga dipindahkan ke PPS SJKC True Light pada 11.45 malam semalam selepas rumah mereka dinaiki air sehingga 0.5 meter manakala sembilan keluarga membabitkan 33 orang dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Juru pada 11 malam. – Bernama

Mangsa banjir, Sharizam Abu Othman bersama isteri dan anak-anaknya di pusat pemindahan sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Juru di sini, kelmarin. – Bernama