Berbuka puasa di Pusat Ehsan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Suruhanjaya Tinggi Singapura dan Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah meraikan kanak-kanak Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) pada majlis berbuka puasa yang diadakan buat kali ketujuh di pusat berkenaan.

Hadir pada majlis tahunan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai dan Presiden Persatuan Singapura, Dr Patrick Ang.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian cek bernilai $5,000 daripada Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam untuk Pusat Ehsan yang disampaikan oleh Dr Patrick Ang kepada Pemangku Pengerusi Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab.

TYT Lim Hong Huai dalam ucapannya antara lain mengulas mengenai usaha berterusan yang diungkayahkan oleh Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan di negara ini.

Tuan Yang Terutama turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat Islam di negara ini.

Pada majlis itu, para jemputan, kanak-kanak yang diraikan dan tetamu yang hadir dihidangkan pelbagai juadah berbuka puasa.

Sesi bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan pada majlis berbuka puasa anjuran Suruhanjaya Tinggi Singapura dan Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam.
TYT Lim Hong Huai (kanan), Dr Patrick Ang (tengah) dan Dato Paduka Haji Alimin (kiri) bersama cek sumbangan Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam.
TYT Lim Hong Huai ketika menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa di Pusat Ehsan, kelmarin.