Berbulan madu di rumah

Pelakon, Tasha Shilla, 33, akur pandemik COVID-19 menyebabkan banyak perancangan tergendala.

Isteri kepada Muhammad Atiq Idris itu berkata, mengikut perancangan asal, mereka mahu berbulan madu di Tanah Suci Mekah, tetapi terpaksa ditunda.

“Setakat ini, saya dan suami hanya berbulan madu di rumah sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasa.

“Ada hikmah di sebalik ujian COVID-19 ini kerana kami banyak memanfaatkan masa bersama termasuk beribadah di rumah.

“Insya-Allah selepas semua kembali seperti biasa, saya dan suami tetap mahu nikmati fasa berbulan madu di Mekah,” katanya.

Tasha Shilla dan suami, Muhammad Atiq Idris berkongsi pelbagai aktiviti harian seperti memasak, bersukan, bersenam dan membaca buku dalam tempoh berkurung di rumah. – Agensi

Bergelar isteri Atiq sejak Februari lalu, pelakon drama Gemilang itu berkata, kehidupannya kini lebih bahagia di sisi suami dan keluarga.

“Ahli keluarga saya bertambah dengan kehadiran keluarga mentua. Rumah kami meriah dengan kunjungan keluarga.

“Bagaimanapun, saya dan suami dapat berkongsi pelbagai aktiviti harian seperti memasak, bersukan, bersenam dan membaca buku dalam tempoh berkurung di rumah. Setiap hari masa diisi dengan banyak perkara bermanfaat termasuk merancang masa depan lebih baik,” katanya.

Tasha atau nama sebenarnya, Nastashasheila Abdul Razak berkata, tempoh tiga bulan berkahwin juga masih menjadi ruang untuknya dan suami mengenali antara satu sama lain.

“Apa yang saya lihat, suami masih sama seperti awal perkenalan. Dia seorang yang sangat positif, jenis bangun pagi dan suka mengemas rumah.

“Suami juga seorang yang kelakar,” katanya.

Katanya, saat awal diuji dengan pandemik hingga kini, dia banyak berserah kepada Yang Maha Esa atas ujian yang datang.

“Ada ketika saya rasa lemah. Lalu, saya mendirikan solat, minta petunjuk dan ketenangan.

“Apa yang disedari, ujian yang datang kali ini dikongsi bersama suami juga cukup membantu. Dia menjadi pendengar setia dalam suka dan duka,” katanya.

Mengulas soal cahaya mata, Tasha berkata, dia belum ada tanda berbadan dua.

“Kami tiada perancangan kerana semuanya ditentukan Allah. Apa yang lebih utama kami menghargai detik yang dilalui bersama,” katanya. – Agensi