Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bercerita menerusi diorama

    KUALA LUMPUR – Sebagai seorang survivor kanser, Wong Ronnie, berusia 70 tahun, tahu betapa pentingnya untuk kekal berfikiran positif dan bahagia.

    Dan bagi Wong, seni diorama telah memberinya ketenangan jiwa dan kebahagiaan.

    Diorama adalah model miniatur tentang sesuatu topik atau pemandangan, biasanya menggambarkan peristiwa sejarah atau kontemporari. Seni diorama sudah wujud selama ratusan tahun, dan digunakan secara popular untuk banyak perkara seperti pengajaran, hiburan selain menceritakan kisah.

    Hasil ciptaan Wong menumpu pada serangga kecil seperti semut dan labah-labah, menggambarkannya di habitat semula jadi atau aktiviti serangga itu.

    Dia menganggap dirinya sebagai tukang cerita menerusi seninya, yang di harapkan dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan ekosistem di mana manusia, serangga, haiwan, burung, dan sebagainya dapat hidup bersama di dunia.

    Wong sentiasa tertarik dengan alam, dan mendapati hobi mencipta diorama membenarkannya lebih mendekati alam semula jadi.

    Wong bersama salah satu seni diorama yang menggambarkan COVID, dicipta semasa awal pandemik. – ANN/The Star

    Salah satu siri Wingslet ciptaan Wong. – ANN/The Star
    Wong berusaha menjadikan ciptaannya nampak seberapa realistik mungkin. – ANN/The Star

    Wong menunjukkan beberapa seni diorama yang diciptanya setakat ini. – ANN/The Star

    “Sejak pembabitan saya dalam perniagaan bunga sebelum ini, saya selalu mengunjungi tapak semaian dan ladang bunga. Saya amat dekat dengan alam,” ujarnya.

    “Saya bermula dengan membuat kraf dawai seperti kala jengking dan pepatung. Tapi bagi saya, membuat figura dengan dawai bererti saya tidak dapat membuat diorama menggunakan dawai,” jelasnya dalam wawancara di rumahnya di Subang Jaya, Selangor.

    “Maka, saya mencuri beberapa manik daripada isteri saya, yang membuat barang kemas kraf tangan, dan menghasilkan semut. Apabila saya mencipta semut daripada manik, ia dapat digabungkan dengan amat baik,” katanya.

    Untuk setiap karya, Wong memulakan proses dengan mengumpulkan bahan-bahan sebelum mengolah dioramanya. Ia mungkin satu proses yang memakan masa kerana dia bersikap amat teliti untuk memastikan setiap butir-butir adalah betul.

    “Seni saya terdiri daripada bahan alami dan tiruan. Kayu, batu dan tanah adalah bahan alami sementara daun plastik merupakan bahan tiruan. Apa pun komponen yang saya gunakan, saya akan menyerlahkannya untuk kelihatan lebih seperti asli,” kongsinya.

    Memasang dan menyusun semut dan serangga lain bukan mudah.

    Prosesnya melelahkan dan beberapa bahagian memerlukan kesabaran yang tinggi.

    “Untuk menghasilkan seekor semut, ia memerlukan enam langkah dan saya menggunakan dua hingga tiga jenis glu kerana sesetengah perekat tidak begitu sesuai,” ujarnya.

    Walaupun fokus utamanya ialah semut, Wong telah mengembang kemahiran kraf tangannya dengan menghasilkan jenis serangga lain.

    “Setelah membuat ‘antscapes’, saya sedar bahawa saya boleh mencipta benda-benda lain seperti pepatung, kumbang dengung malah penguin.

    “Mencantumkan sayap pepatung dan lebah adalah agak sukar. Awda perlu mengimbangkan kedua-dua bahagian sayap, jika tidak ia akan nampak senget,” katanya.

    Menghasilkan sarang labah-labah adalah projek paling mencabar baginya.

    “Setiap sambungan perlu kering sebelum awda mencantumkannya dengan bahagian lain. Ia mengambil masa lama untuk siap,” jelasnya.

    Selain membuat diorama semut, Wong juga mencipta seni diorama lain, termasuk siri Winglets, yang menampilkan lebah dan lalat, siri Websites, yang memaparkan labah-labah, siri Antpots, yang membolehkan awda menanam tumbuhan sebenar di dalamnya.

    Dia juga mencipta beberapa rekaan metaforik, seperti model tentang Krismas dan COVID.

    Sentiasa aktif

    Wong percaya dalam menjaga diri dan perlu sentiasa sibuk pada tahap akhir kehidupannya daripada tidak melakukan apa-apa.

    “Saya enggan menjadi tidak berguna (pada usia ini) dan saya ingin melakukan sesuatu yang bermanfaat. Apabila usia makin meningkat, awda tidak bersara sebenarnya, awda hanya berhibernasi. Saya ingin menjadi produktif demi kesihatan dan kreatif untuk seni saya,” katanya.

    Walau bagaimanapun, sebagai seseorang yang pernah menghidapi kanser, kehidupan bukan sentiasa mudah baginya.

    “Apabila saya tahu saya ada kanser lapan tahun yang lalu, saya menjalani pembedahan dan saya perlu kembali untuk ujian setiap tiga bulan. Ia sungguh menyeksakan,” katanya.

    Itulah masanya dia memutuskan untuk menceburkan diri dalam seni, mendapati prosesnya mendatangkan kepuasan. Dia begitu khusyuk dalam perincian dan kisah yang digambarkan dalam seninya.

    “Ketika saya duduk untuk melakukannya, saya tenggelam dalam dunia saya sendiri. Saya tidak tahu saya boleh menciptakan ini. Saya bukan seorang pengecat yang baik tetapi memandangkan ia mencakup banyak jenis bahan dan memerlukan saya untuk melukis, saya pun mula belajar bagaimana melukis,” katanya.

    Kadang-kadang dia akan berkongsi seninya di bazar dan akan berasa terharu dengan respons positif yang diterimanya. Ramai orang telah memberikan komen tentang betapa realistik seninya.

    “Beberapa orang asing datang ke petak saya dan berkata, ‘Saya sudah mengunjungi serata dunia dan saya tidak pernah melihat ini’. Komen tersebut membuat saya berasa amat teruja.

    “Ada juga guru sekolah yang membeli salah satu karya saya dan menunjukkannya kepada murid-murid.

    “Ini membuat hati saya gembira mengetahui seni saya digunakan untuk memberikan inspirasi kepada kanak-kanak,” tambahnya.

    Wong mendapati hobinya memberikannya rasa kepuasan dan satu cara untuk sentiasa aktif secara mental dan fizikal.

    Walaupun dia menjual seni diorama kepada orang yang berminat, dia tidak pernah menyimpan hasrat untuk membuka sebuah perniagaan.

    “Apabila saya memulakan kerja ini, ia tidak berkaitan dengan wang. Bagi saya, perkara paling penting adalah minat. Beberapa orang mengagumi seni dan ia sudah memadai untuk membuat saya bahagia.

    “Inilah cara saya menenangkan fikiran saya. Seni itu telah berubah dari hobi menjadi minat mendalam,” katanya, menambah ia juga membenarkannya berinteraksi dengan orang lain dan alam semula jadi dalam cara yang amat bermakna.

    Pada akhir temu ramah, Wong mengatakan bahawa mencari kaedah untuk mengekspresikan diri dan tetap bahagia adalah penting bagi para survivor kanser dan orang pada umumnya.

    “Jika kamu sakit, biarkan doktor merawatnya. Sebaliknya, awda perlu teruskan kehidupan seperti biasa.

    “Isikan masa awda dan jangan khuatir tentang hidup,” nasihatnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...