Bercucuk tanam di rumah hijau terbesar dunia

MONTREAL – Berdasarkan trend kebun tergantung baharu, sebuah rumah hijau yang terletak di atas gudang Montreal yang menanam terung dan tomato bertujuan memenuhi permintaan untuk makanan tempatan telah mencatat rekod sebagai yang terbesar di dunia.

Ia bukan satu pilihan lokasi yang ketara untuk bercucuk tanam sayuran organik – di tengah bandar kedua terbesar Kanada – tetapi Ladang Lufa pada Rabu merasmikan rumah hijau yang menjangkau 160,000 kaki persegi atau kira-kira saiz tiga padang bola sepak.

“Misi syarikat adalah menanam sayur-sayuran atau buah-buahan sebagai sumber makanan di mana penduduk tinggal dan dalam cara mampan,” beritahu jurucakap Thibault Sorret kepada AFP, tatkala beliau menunjukkan hasil pertama terung yang ditanamnya.

Ia merupakan rumah hijau atas bumbung keempat yang telah didirikan oleh syarikat di bandar itu. Rumah hijau pertama, dibina pada 2011 pada harga lebih daripada $2 juta Kanada, memecah rekod baharu.

Sejak itu, pesaing mengikut jejak langkah dan mengendalikannya dengan idea baharu, termasuk American Gotham Greens, yang membina rumah hijau besar atas bumbung di New York, Chicago dan Denver, dan French Urban Nature, yang merancang membina sebuah rumah hijau di Paris pada 2022.

Simon Legendre memetik tomato di Ladang Lufa, rumah hijau atas bumbung terbesar di dunia. – AFP

Terung ditanam di Ladang Lufa. – AFP
Pemandangan udara syarikat yang baru dibuka yang merupakan rumah hijau atas bumbung komersial terbesar di dunia di Montreal, Quebec. – AFP

Sebuah pasar raya tempatan di Montreal juga telah menawarkan beraneka jenis sayur yang ditanam di atas bumbungnya sejak 2017, yang dijadikan ‘hijau’ demi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

Warga Lubnan, Mohamed Hage dan isterinya Lauren Rath-mell, seorang warga Amerika dari negeri jiran Vermont, menubuhkan Ladang Lufa pada 2009 dengan cita-cita ‘mencipta semula sistem makanan.’

Di Lufa, kira-kira 100 jenis sayur-sayuran dan herba ditanam sepanjang tahun dalam kontena hidroponik yang dilapik dengan sabut kelapa dan diberi cecair nutrien, termasuk pokok salad, timun, zukini, sayur bok choy, daun saderi dan tauge.

Kumbang dengung mendebungakan tanaman, sementara tebuan dan kumbang kura-kura mengawasi afid, tanpa memerlukan penggunaan racun perosak.

Sayur-sayuran yang mencukupi dihasilkan setiap minggu untuk menyara 20,000 keluarga, dengan baku1 dikhaskan untuk setiap satunya pada harga asas $30 kanada.

‘Pasar dalam talian’ syarikat juga menjual produk yang dihasilkan oleh ladang rakan tempatan termasuk ‘roti, pasta, beras dan sebagainya,” kata Sorret.

Di tingkat bawah rumah hijau baharu, sebuah pusat pengagihan besar mengumpul bersama kira-kira 2,000 produk runcit untuk ditawarkan kepada ‘penduduk Lufa’, termasuk restoran.

Seorang pembeli, Catherine Bonin memberitahu AFP bahawa beliau suka kesegaran hasil keluaran tetapi mengeluh sesetengah produk selalu kehabisan stok. “Selalunya saya tidak dapat membeli lada benggala,” katanya.

“Kini kami mampu memberi makan kepada hampir dua peratus daripada penduduk Montreal melalui rumah hijau kami dan ladang rakan kami,” kata Sorret.

“Kelebihan mendirikan rumah hijau di atas bumbung adalah anda mendapat semula banyak tenaga dari bahagian bawah bangunan, membolehkan penjimatan dalam pemanasan, satu aset semasa musim sejuk yang teruk di Quebec, jelas beliau.

“Kami juga memanfaatkan penggunaan ruang yang tidak digunakan sehingga hari ini,” tambahnya.

Beroperasi secara automatik sepenuhnya, rumah hijau baharu itu juga mempunyai sistem air yang mengutip dan menggunakan semula air hujan, membawa kepada penjimatan ‘sehingga 90 peratus’ berbanding dengan ladang tradisional.

Jualan Lufa ‘bertambah dua kali ganda’ semasa tempoh pandemik koronavirus, satu peningkatan yang disumbangkan kepada ‘penghantaran tanpa kontak dari laman dalam talian kami, menurut Sorret.

Memperoleh keuntungan sejak 2016, syarikat swasta itu kini menggaji 500 orang, kira-kira 200 lebih ramai daripada sebelum pandemik, menurut beliau.

Buat masa sekarang, ia sedang berusaha untuk memasang elektrik pada armada trak penghantaran dan sedang dalam proses mengeksport modelnya ‘ke bandar-bandar berlainan di seluruh dunia’ bermula dengan Kanada dan Amerika Syarikat, kata Sorret.

“Apa yang nampak agak gila,” katanya, adalah tidak ada pengasas ‘yang telah menanam tomato dalam hidup mereka’ sebelum memulakan perniagaan tersebut. – AFP