Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Bercucuk tanam jadi penghibur hati

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Bersyukur dengan kesihatan yang dikurniakan Allah untuk terus mencari rezeki dengan tulang empat kerat walaupun terpaksa bekerja di usia yang sudah lanjut, seorang warga emas, Dayang Siti Aminah binti Haji Baruddin, 75, boleh dijadikan sebagai contoh ikutan untuk generasi masa kini.

    Penglibatannya dalam bercucuk tanam kini sudah mencapai usia 30 tahun iaitu bermula pada tahun 1993 di tapak lama perniagaannya dan kini hasil tanamannya dijual di Pusat Hortikultur Rimba.

    “Pada awalnya saya hanya menjual pokok-pokok hutan saja dan kemudiannya dipelbagaikan lagi dengan menjual anak pokok buah-buahan,” ujarnya.

    Ketika mengongsikan pengalaman, sejak terlibat dalam bidang tanaman ini, pelbagai cabaran yang dihadapi dan dengan cabaran inilah yang menjadikan seseorang untuk terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan lagi usaha diri.

    Beliau yang berasal dari Kampung Rimba memiliki sebuah syarikat yang dinamakan Syarikat Siti Aminah Binti Baruddin ketika ditemu bual penulis di Pusat Hortikultur Rimba, Lebuh raya Tungku, tidak kurang dengan senyuman dan gelak tawanya ditambah lagi dengan bahasa yang elok memberi keselesaan kepada penulis untuk meneruskan temu bual.

    Cuaca panas bukan menjadi penghalang untuk dirinya terus mencari rezeki yang halal.

    Tidak pandai duduk diam, pasti akan ada saja dilakukan terhadap anak-anak pokok yang dijualnya.
    Warga emas, Dayang Siti Aminah berasa senang hati dengan aktiviti bercucuk tanam yang dilakukannya.
    Antara pokok yang dijual di gerainya di Pusat Hortikultur Rimba.

    Lantaran itu, pokok-pokok hutan yang ada pada masa ini menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan hiasan bukan saja di luar rumah malahan juga ia diletakkan di dalam rumah terutama di ruang tamu untuk menambah kesegaran ruang berkenaan.

    Selain itu, mengisi masa yang ada dengan aktiviti berfaedah seumpama ini terutama di usia yang sudah semakin lanjut, bukan saja mampu untuk menghiburkan hati malah, secara tidak langsung dapat mengembangkan minda sekali gus menambah kesegaran pada tubuh badan.

    “Aktiviti bercucuk tanam ini merupakan aktiviti ringan yang dapat membantu untuk mengaktifkan otot-otot badan seterusnya dapat mengeluarkan peluh berbanding dengan hanya duduk-duduk di rumah saja,” tambahnya.

    “Apabila kita kurang aktif di dalam rumah, maka badan akan berasa lemah dan fikiran pun terhad tetapi berbeza pula keadaannya jika kita keluar ke gerai dan banyak berkomunikasi dengan pelanggan dan kawan-kawan di sini,” jelasnya.

    Walaupun pendapatannya kadang-kadang hanya sekitar $30 sehari, beliau tetap bersyukur dengan pendapatan yang sedia ada untuk kegunaan hariannya.

    Akan tetapi pendapatan beliau akan bertambah apabila menjelangnya waktu gaji dan kedatangan bulan Syawal.

    Di samping itu, menyentuh mengenai kerja-kerja penyemaian anak-anak pokok, pada kebiasaannya beliau melakukannya secara sendirian meskipun sebelum ini beliau pernah dibantu oleh anaknya yang kini telah bekerja.

    Dalam penyemaian anak-anak pokok agar ia tumbuh dengan baik, bahan-bahan seperti tanah dan baja akan didapatkan daripada pembekal bahan yang kemudiannya dihantar ke gerai-gerai di Pusat Hortikultur Rimba.

    Beliau juga turut berkongsi selain melakukan aktiviti–aktiviti bagi mendapatkan kesihatan yang baik, pengambilan makanan yang sihat juga perlu diambil perhatian dengan cara mengurangkan pengambilan gula dan juga makanan yang berlemak.

    Lazimnya beliau akan tiba digerainya seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari kecuali pada hari Jumaat dan Ahad kerana waktu tersebut dimanfaatkannya untuk berehat sambil mengerjakan penanaman benih anak-anak pokok dan kebun di rumahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...