Bercuti bersama keluarga di Taman Permainan Jerudong

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Bersempena Festival Disember Brunei, Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC) akan mengadakan Jerudong Park Mega Fun Family Carnival selama enam hari bermula dari 3 Disember ini.

Acara tersebut akan berlangsung di Jerudong Park Colonnade di mana pelbagai aktiviti dan persembahan telah disusun, antaranya Movie Night, persembahan-persembahan hebat daripada band-band tanah air seperti A Band Once, Kosmik dan Roket Kertas. Turut memeriahkan acara nanti ialah ahli-ahli silap mata tempatan.

Lebih menarik, orang ramai berpeluang untuk menerima hadiah-hadiah segera apabila menyertai lebih 10 aktiviti karnival yang telah disediakan dan pengusaha-pengusaha tempatan juga akan menjual pelbagai jenis makanan. Bagi setiap aktiviti karnival, pengunjung boleh membeli kupon untuk menyertainya dan orang ramai yang ikut serta akan berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah dan memenangi hadiah-hadiah hebat. Turut memeriahkan sepanjang Disember ini, JPCC juga mengadakan Movie Night di Jerudong Park Colonnade pada setiap hujung minggu yang sekali gus bagi mengisi masa lapang sepanjang cuti penggal persekolahan.

Dalam pada itu juga, JPCC akan menawarkan harga istimewa bagi tiket-tiket ke Taman Permainan Jerudong yang dibuka setiap Selasa hingga Ahad sepanjang bulan ini. Setiap pembelian tiket masuk, orang ramai juga berpeluang untuk mengikuti satu permainan misteri setiap minggu.

Oleh itu, dengan adanya karnival ini, ia diharap akan dapat menggalakkan orang ramai untuk meluangkan masa sepanjang cuti hujung tahun penggal persekolahan di negara sendiri dan pada masa yang sama menyokong pengusaha-pengusaha tempatan yang menyertai acara tersebut.