Berdepan cabaran dalam rumah tangga

Ulasan siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis

Drama terbaharu dari Korea Selatan ini baharu sahaja disiarkan pada bulan Oktober ini dan disiarkan dalam saluran SBS. Dengan mengemukakan konsep misteri, romantik dan konflik dalaman, drama yang bertajuk VIP disiarkan setiap hari Isnin dan Selasa. Drama yang dijangka akan membangkitkan fenomena hebat ini dijangka akan mempunyai 32 episod.

Drama yang bergenrekan romantik ini diarahkan oleh Lee Jung Rim manakala skrip drama pula ditulis oleh Hae Won. Drama VIP ini secara ringkas mengisahkan mengenai misteri tentang beberapa orang wanita yang mengalami kesulitan di tempat kerja dan begitu juga di dalam kehidupan peribadi mereka.

Drama baharu dari Korea Selatan ini dibintangi oleh beberapa orang pelakon hebat iaitu Jang Na Ra, Lee Sang Yoon, Lee Chung Ah, Kwak Sun Young, Pyo Ye Jin dan banyak lagi. Bagi anda yang meminati genre misteri dan juga romantik, VIP pasti akan dapat menepati cita rasa anda.

Kronologi ringkas

Drama ini mengisahkan mengenai Na Jung Sun lakonan Jang Na Ra yang bekerja dengan sebuah kumpulan dan bertanggungjawab untuk berurusan dengan pelanggan-pelanggan VIP dari sebuah gedung perniagaan yang terbesar di wilayah tersebut. Kemudian Na Jung Sun melangsungkan perkahwinan bersama dengan Park Sung Joon yang turut bekerja di syarikat yang sama.

Namun pasangan yang baharu sahaja berkahwin ini mengalami pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang perhubungan mereka selaku suami isteri namun disebabkan perkara yang tertentu, hubungan pasangan suami isteri ini akhirnya menjadi dingin sehingga menyebabkan kehidupan rumah tangga mereka menjadi kucar kacir.

Apakah kesudahan rumah tangga pasangan suami isteri ini, apakah gangguan dan cabaran yang mereka alami, anda boleh ketahui dalam drama baharu dari Korea Selatan, VIP yang disiarkan dalam saluran SBS.

Apakah kesudahan rumah tangga pasangan suami isteri, anda boleh ketahui dalam drama baharu dari Korea Selatan, VIP yang disiarkan dalam saluran SBS.