Berdepan hukuman mati bina rumah atas laut

BANGKOK, 18 April – Seorang pelabur bitcoin Amerika Syarikat boleh berdepan hukuman mati selepas pihak berkuasa tentera laut Thailand menuduhnya mencabuli kedaulatan negara dengan membina sebuah rumah di atas laut di pesisir pantainya, namun pelabur itu menegaskan ia hanyalah caranya untuk mencari kebebasan.

Chad Elwartowski dan teman wanitanya warga Thailand, Supreanee Thepdet, lebih dikenali sebagai Bitcoin Girl Thailand berdepan tuduhan mengancam kedaulatan negara itu selepas pihak berkuasa menemui rumah mereka kira-kira 12 batu nautika dari tepi pantai.

Namun Elwartowski memberitahu AFP bahawa kediaman mereka terletak 13 batu nautika, yang merupakan luar perairan sempadan Thailand.

Satu aduan rasmi mengenainya difailkan di balai polis Phuket, menurut polis colonel Nikorn Somsuk ketika mengesahkan kejadian itu.

“Pasukan tentera laut menemui satu tanki konkrit terapung di laut namun tiada orang di atasnya,” Nikorn memberitahu AFP. “Maka mereka memfailkan tuduhan di bawah Kod Jenayah 119.”

Jika mereka didakwa secara rasmi dan didapati bersalah, hukuman maksimum dihadapi Elwartowski dan Supranee adalah hukuman mati. – AFP