Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berdikari dalam meraih kejayaan hidup

    DIREKA oleh Yasuhiro Wada pada tahun 1996, Harvest Moon merupakan sebuah permainan video yang menampilkan konsep simulasi yang sememangnya memiliki peminatnya tersendiri sehingga popularitinya tetap bertahan sehingga kini.

    Antara yang menarik dan sinonim dalam siri permainan video ini adalah apabila menerapkan konsep petani dan peladang di mana secara tidak langsung berupaya mencambah minat pemain untuk mengetahui secara terperinci mengenai hal tersebut.

    Selain melaksanakan rutin harian tersebut, setentunya pemain juga harus melakukan pelbagai misi penuh dengan cabaran yang sering ditampilkan dengan gaya berbeza dalam setiap siri yang diterbitkan.

    Kini, sebuah lagi siri terbaru permainan video tesebut berjudul Harvest Moon: Light of Hope telah dikeluarkan dan setentunya dapat mengubati rindu peminat yang sentiasa menantikannya.

    Terdampar di pulau terpencil

    Siri terbaru ini memperlihatkan latar cerita yang segar di mana karakter utama menjadi pilihan pemain telah melalui sebuah kembara merentasi lautan yang bergelora.

    Pemain berpeluang untuk menguruskan pelbagai jenis haiwan ternakan dalam Harvest Moon : Light of Hope.
    Aspek sinonim dalam siri Harvest Moon iaitu aktiviti bercucuk tanam setentunya turut dimuatkan dalam siri terbaru ini.

    Pada suatu hari di saat karakter utama tersebut sedang asyik menikmati kembara pelayaran ternyata cuaca juga berada dalam keadaan kurang mengizinkan.

    Berikutan daripada cuaca buruk tersebut juga secara tidak langsung turut membuatkan keadaan laut bergelora sekali gus meningkatkan risiko kepada setiap individu yang berusaha untuk merentasi lautan yang cukup luas tersebut.

    Malang memang tidak dapat dihidu apabila kapal yang dinaiki oleh karakter utama tersebut telah terdampar di sebuah kawasan pulau terpencil setelah dipukul ombak laut yang sangat bergelora.

    Kehadiran karakter utama dikawal pemain di kawasan pulau terpencil itu nyata berjaya menarik perhatian salah seorang doktor bernama Jeanne.

    Jeanne merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memberikan rawatan sekali gus menjaganya sehingga karakter utama tersebut berada dalam keadaan sihat seperti sediakala.

    Dari situ, Jeanne telah menceritakan kepada karakter di kawal pemain bahawa suatu ketika dahulu pulau ini pernah mengecapi era kegemilangannya.

    Namun kini, ia jelas kelihatan berada pada tahap sangat terhakis akibat keadaan kehijauan dan kesuburan yang sering diusahakan oleh petani dan peladang semakin berkurangan.

    Malah mercu tanda yang pernah menjadi kebanggaan di pulau terpencil itu iaitu sebuah rumah api juga kelihatan berada dalam sangat menyedihkan dan daripada situlah ianya menjadi misi kepada pemain-pemain untuk mengembalilkan semula keamanannya.

    Mula belajar hidup berdikari

    Sebelum pemain diberi kebenaran untuk melalui kembara menarik dalam permainan video ini, anda juga telah diberikan pilihan sama ada ingin mengawal karakter seorang lelaki atau perempuan.

    Dari situ, karakter pilihan pemain akan dibekalkan dengan sebidang tanah bagi tujuan pelaksanaan aktiviti pertanian dan perladangan.

    Dalam masa yang terluang, pemain juga berpeluang untuk menerokai keseluruhan kawasan dan mengeratkan hubungan sosial bersama karakter lain.

    Seumpama dalam permainan terdahulu, pemain juga akan melakukan pelbagai rutin harian iaitu mengusahakan ladang pertanian, menjaga binatang ternakan dan memproses aneka produk berdasarkan hasil tanaman yang telah diusahakan.

    Dalam mengusahakan ladang pertanian itu, setentunya pelbagai peralatan dan kelengkapan seperti cangkul, alat penyiraman, biji benih dan sebagainya yang diperlukan oleh pemain.

    Seiring dengan perkembangan dan kemajuan pemain dalam permainan video ini, setiap peralatan dan kelengkapan tersebut juga boleh dinaiktaraf bagi mempermudahkan lagi aktiviti pertanian.

    Tanaman yang diusahakan juga wajar dilakukan mengikut musim tertentu kerana kesuburan setiap tanaman itu juga akan terjejas sekiranya ia di tanam bukan pada musim yang bersesuaian.

    Hasil wang yang dikumpulkan melalui usaha pertanian tersebut, pemain pula berpeluang untuk membeli pelbagai binatang ternakan seperti ayam, lembu dan kerbau yang turut mengeluarkan hasil tersendiri seperti produk tenusu dan telur.

    Di samping itu, pemain-pemain juga boleh membeli kuda untuk dijadikan sebagai tunggangan bagi menghubungkan satu destinasi ke destinasi lainnya.

    Sebagaimana dalam siri permainan terdahulu, siri terbaru Harvest Moon ini juga turut menampilkan banyak festival yang sangat menarik dan boleh disertai oleh para pemain.

    Dalam tempoh masa permainan tertentu, pemain juga boleh mencari pasangan yang terdiri daripada gadis atau pemuda di kawasan tersebut dan turut mendirikan rumah tangga sekali gus membina institusi kekeluargaan.

    Dari situ, pemain harus terus berusaha dalam melaksanakan pelbagai rutin harian di samping terus melaksanakan misi untuk mengembalikan kegemilangan pada kawasan pulau terpencil tersebut.

    Justeru, sekiranya anda ingin mencari sebuah permainan video yang bukan sahaja dapat memberikan satu hiburan namun ia secara tidak langsung turut mendidik dan banyak mencambah idea berhubung dengan aktiviti pertanian dan pengurusan ladang maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Harvest Moon: Light of Hope yang dikeluarkan untuk platform Playstation 4, PC dan Nintendo Switch.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda