KUALA LUMPUR, 28 Jun – Juruterbang telah dilatih dengan begitu komprehensif bagi persediaan mental termasuk berdoa ketika menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan teknikal sewaktu penerbangan.
Pakar penerbangan berpendapat, tindakan juruterbang pesawat AirAsia X D7237 yang meminta penumpang berdoa ketika menghadapi situasi kecemasan baru-baru ini, bukanlah kesalahan malah ia sebahagian daripada praktis bagi menenangkan penumpang dan mengawal keadaan.
Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tidak semua situasi dapat dilatih dalam simulator atau menggunakan kapal terbang yang nyata kerana setiap situasi adalah unik dan berdoa antara pilihan yang ada bagi mana-mana juruterbang.
“Dalam menghadapi situasi getir yang tidak pernah dilalui sewaktu latihan atau menggunakan simulator, kesediaan mental adalah perlu termasuk berdoa.
“Malah dari segi psikologi, berdoa memberikan kita persediaan mental tersebut. Dan dari segi agama, memang kita disarankan untuk bergantung pada Ilahi kerana apa-apa sahaja boleh berlaku di dalam apa-apa situasi,” katanya kepada Bernama.
Mohd Harridon mengulas insiden pesawat Air Asia X D7237 yang berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur 7 pagi Ahad lepas waktu tempatan, namun terpaksa berpatah balik ketika berada di ruang udara dekat perairan Carnarvon, Australia berikutan masalah teknikal.
Juruterbang itu dilapor meminta penumpang berdoa namun tindakannya itu dipertikai anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim yang seolah-olah tidak merestui perbuatan tersebut.
Sementara itu, bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata tiada yang pelik dalam berdoa sewaktu penerbangan, malah banyak lagi syarikat penerbangan yang memainkan video doa musafir sebelum penerbangan termasuk British Airways untuk penerbangan khas Haji dan Umrah.
“Lazimnya yang sering mempersoalkan keperluan doa adalah daripada kalangan orang yang tidak beragama,” katanya. – Bernama