KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Legenda badminton Malaysia, Datuk Razif Sidek menyifatkan prestasi pemain beregu lelaki Malaysia akan meningkat sekiranya mendapat bimbingan pasangan senior berpengalaman yang boleh membantu mereka dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau berkata, situasi dialami gandingan Malaysia ketika ini amat berbeza jika dibandingkan dengan zamannya suatu ketika dahulu.
“Ia berbeza jika hendak dibandingkan pada zaman saya yang masih mempunyai pemain senior seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, ketika saya berada dalam skuad kebangsaan. Pemain sekarang hanya berlatih sesama sendiri tanpa pemain senior,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Razif pada masa sama berharap Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menggunakan kebijaksanaan dalam merangka strategi bagi mengangkat pasangan beregu Malaysia bersaing dengan gandingan terbaik dunia. Menurutnya, dua beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani adalah antara pemain yang berpontensi tinggi memberi cabaran di peringkat antarabangsa pada masa kini.
Razif optimis bahawa Rexy dan pasukan kejurulatihan mampu melaksanakan misi berkenaan, kerana ketika ini kedua-dua pasangan Malaysia itu tidak jauh ketinggalan dari segi persembahan, namun hanya tumpas kepada pasangan gandingan terbaik dunia. – Bernama