GAZA – Gadis Palestin, Fatima Abu Shadak dari Semananjung Gaza telah mendapat peluang untuk mengembangkan kemahiran berenangnya di mana ia merupakan sebahagian daripada inisiatif yang memberi tumpuan dalam membangkitkan semula semangat mangsa serangan Israel semasa musim panas pada tahun 2014.
Gadis berusia 13 tahun itu turut mengalami trauma setelah ayahnya meninggal dunia akibat terkena serpihan peluru berpandu Israel yang mendarat berhampiran dengan kawasan rumah mereka semasa perang yang mengorbankan hampir 2,000 warga Palestin.
Dengan menyertai latihan berenang khusus bagi wanita ini setentunya ia merupakan satu titik perubahan positif bagi dirinya.
Sejak awal tahun lalu, sekumpulan remaja perempuan telah menyertai latihan asas dalam sukan berenang dan beberapa kemahiran lain yang diperlukan.
Fatima juga merupakan sekumpulan pasukan perempuan di antara usia sembilan dan 15 tahun yang dikatakan layak untuk menyertai acara sukan renang bagi mewakili negara itu.


“Penglibatan saya sebagai sebahagian daripada pasukan ini telah membolehkan saya untuk belajar berenang dan menjadi perenang profesional di mana ia juga secara tidak langsung meningkatkan semangat dan keyakinan dalam diri saya,” jelas remaja perempuan itu kepada Xinhua.
Fatima turut menambah bahawa dia tetap memiliki semangat dan tekad tersendiri untuk terus maju ke hadapan bagi mencapai impiannya untuk mewakili Palestin ke acara Sukan Olimpik Dunia di Tokyo pada tahun 2020.
“Saya juga turut memasang impian untuk menjadi seorang pasukan penyelamat di masa hadapan,” jelasnya sambil tersenyum.
Pasukan remaja perempuan itu juga turut dibimbing di bawah jurulatih, Amjad Tantish yang menguruskan pusat kebudayaan bagi kanak-kanak dan generasi muda yang merupakan mangsa keganasan serangan Israel.
“Bagi saya, aktiviti berenang ini berupaya untuk melegakan tekanan psikologi yang dialami oleh kanak-kanak dan generasi muda sekali gus membuktikan bahawa ia sememangnya berupaya untuk memberi manfaat dari sudut fizikal dan moral,” jelas Tanish kepada Xinhua.
Dia turut menjelaskan bahawa kumpulan pasukan itu disertai oleh 15 orang remaja perempuan yang jelas memperlihatkan kemajuan dalam kemahiran aktiviti berenang sambil turut melahirkan harapan untuk menyertai pertandingan di luar negara.
Kumpulan perenang itu kesemuanya berasal dari Beit Lahiya di Semananjung Gaza dan telah mengaturkan untuk bertemu sebanyak tiga kali seminggu selama dua jam untuk melakukan aktiviti latihan.
Sesi latihan ini biasanya dibahagikan kepada beberapa bahagian merangkumi aspek pemanasan dan kecergasan sebelum melangkah ke latihan berenang yang dilakukan secara individu atau dalam kumpulan.
Latihan berenang yang dilakukan oleh sekumpulan remaja ini turut disokong oleh institusi Jerman terutama dari sudut pembiayaan kewangan.
Bagaimanapun sekumpulan remaja tetap perlu memperbanyakkan lagi latihan dan mencipta rekod tertentu sebelum melayakkan diri mereka untuk menyertai acara pertandingan di luar negara dan sukan Olimpik.
“Kami berhadapan dengan masalah kekurangan kelengkapan, tidak memiliki kolam renang sebesar di Olimpik di Semananjung Gaza atau yang memiliki suhu panas,” jelas Hassan Moussa, seorang perenang Palestin terkenal dan melatih kumpulan remaja itu kepada Xinhua.
Moussa turut melahirkan harapan agar kumpulan remaja perempuan ini dapat terus mengembangkan kemahiran mereka.
“Kami harus sentiasa bersemangat bukan sahaja dari sudut sukan namun inisiatif untuk meningkatkan keupayaan psikologi terutama selepas berhadapan dengan trauma daripada peperangan,” jelasnya.
Dengan usaha yang tersendiri, Rokaya al-Baba, 12 tahun terus bersedia untuk bersaing dengan rakan sepasukannya yang lain serta terus memperkuatkan lagi sesi latihannya.
Sebagaimana dengan Fatima, Rokaya juga turut kehilangan ibu dan abangnya kesan daripada serangan pengganas yang dilakukan oleh pengganas Israel di Semananjung Gaza pada tahun 2014.
“Berenang memang berupaya untuk membantu saya bagi membebaskan unsur negatif dalam kehidupan saya dan mengisi kekosongan yang ada… Saya juga berharap agar saya terus berpeluang untuk berenang setiap hari,” jelas gadis itu dalam nada penuh semangat. – Xinhua