Berenang bersama dolfin, pembantu Duterte dikecam

MANILA, 2 JULAI – Pembantu atasan presiden Filipina mencetuskan kontroversi apabila dia berenang bersama dolfin di sebuah taman tema, ketika negara berdepan larangan perjalanan ketat kerana koronavirus.

“Saya tidak melanggar sebarang peraturan meskipun saya mengakui bahawa segelintir orang mungkin merasa terkilan dengan gambar-gambar yang mereka lihat,” kata Harry Roque, jurucakap Duterte pada sidang media hari ini.

“Berenang kini dibenarkan kerana ia sukan tanpa kontak. Jika saya melanggar sebarang peraturan penjarakan sosial, ia adalah bersama dolfin dan bukan orang,” katanya, namun dalam masa yang sama meminta maaf atas kelakuannya.

“Saya tidak berparti, saya berseorangan – saya bersama empat ekor dolfin,” katanya. Roque, 53, memberitahu wartawan seseorang telah merakamkan gambarnya di Ocean Adventure, berhampiran bekas pangkalan tentera laut AS di Teluk Subic pada Rabu tanpa pengetahuannya.

Foto-foto itu diposkan ke laman Facebook taman tema marin itu, menurut laporan media tempatan. Ia bagaimanapun telah dipadamkan.

Pengguna Twitter mengkritik Roque kerana melakukan perjalanan semasa wabak koronavirus yang mengakibatkan ramai di negara itu menganggur dan menjejaskan ekonomi.

“Lihatlah, dia berenang bersama dolfin ketika seluruh negara dilumpuhkan oleh pandemik,” kata satu ciapan.

Roque dalam mempertahankan dirinya, mengatakan dia melakukan perjalanan santai ke taman di wilayah Bataan itu selepas mengunjungi ‘perniagaan usaha samanya yang mengalami kerugian’ termasuk sebuah ladang khinzir. – AFP