(Siri satu)
Undur satu langkah setapak
ADA masanya, kita sibuk dengan tugas dan mudah hilang fokus kepada isu-isu sebenar. Rahsia kali ini berkongsi cara-cara yang dapat membantu kita sentiasa fokus kepada matlamat meyeluruh dan pelan tindakan.
Berikut adalah beberapa langkah yang terbaik dan praktikal, bagi membantu kita berfikir dengan lebih strategik dalam urusan-urusan perniagaan.
-Jelaskan matlamat: Definisikan prioriti menyeluruh dan tujuan termasuk nilai-nilai asas dan etos (ciri-ciri ataupun pegangan organisasi).
-Wujudkan sasaran yang jelas: Wujudkan matlamat yang jelas supaya semua orang yang terlibat tahu tugas masing-masing dan bagaimana menjayakannya. Matlamat itu dapat kita pecah-pecahkan menjadi tugas-tugas kecil yang mudah dilaksanakan.
-Tanya soalan-soalan yang wajar: Jelaskan matlamat yang ingin kita selesaikan menggunakan Bahasa kita sendiri.



-Cari seberapa banyak solusi: Kumpulkan maklumat dengan membuat kajian baru dan sekiranya perlu, ambil kira pengalaman sebelum itu, peraturan yang wajar, prosedur, dan sebagainya.
Pada peringkat ini, bersikap terbuka dan jangan membuat sebarang keputusan. Periksa semua, dan sekiranya perlu, persoalkan setiap satu andaian.
-Galakkan inovasi: Wujudkan suasana di mana semua staf berasa mereka dapat berfikir dan bekerja dengan cara baru, dan menambah ataupun mengekalkan pelanggan yang lebih banyak daripada pesaing-pesaing kita.
-Buat keputusan yang tepat: Keputusan-keputusan kita perlu signifikan dan objektif serta berasaskan maklumat yang terbukti kebenarannya daripada sistem informasi yang sahih atau betul. Buat keputusan bagi memperolehi solusi terbaik yang ada.
-Gunakan kriteria terbaik: Kenal pasti kriteria bagi menilai pilihan-pilihan yang berbeza.
-Umumkan keputusan kita: Apabila kita membuat keputusan, umumkan maklumat itu kepada semua yang terlibat.
Ini buka sahaja soal komunikasi, tetapi memberi peluang kepada semua orang merasakan penglibatan mereka.
-Sentiasa lakukan tinjauan strategi: Buat tinjauan berkenaan apa yang berlaku kepada pasaran, produk, dan pelanggan. Kerap bertanya, “Mengapakah ini penting?”, “Mengapakah ini relevan?”, “Mengapakah kita melakukan perkara ini?”. Dengan cara ini, isu-isu asas dapat diatasi.
Pakai Topi de Bono
Pakar psikologi, Edward de Bono menulis bukunya yang bertajuk Six Thinking Hats, yang menggalakkan pemikiran dan membuat keputusan daripada pelbagai sudut pandang yang sukar.
Pendekatan de Bono dalam bukunya dapat dirumuskan dalam enam idea, setiap satu dengan topinya sendiri.
-Topi Putih: Lihat secara objektif setiap fakta dan informasi yang ada.
Fikirkan apakah ruang-ruang lompong yang ada dalam pengetahuan kita, dan cuba isikan.


-Topi Merah: Lihat subjek itu dari sudut pandang emosi kita.
Apakah perasaan orang lain berkenaan isu itu? Sebagai contoh, adakah mereka marah ataupun takut dengan perubahan? Bagaimana respons semula jadi daripada gerak hati mereka?
-Topi Hitam: Lihat isu-isu dari sudut pandang yang negatif.
Apakah kesilapan yang terdapat pada rancangan itu? Mengapa rancangan itu menghadapi kegagalan? Apakah keburukan rancangan itu dan risikonya?
-Topi Kuning: Lihat isu itu dari sudut pandang yang positif.
Apakah kebaikannya? Mengapakah rancangan itu akan berjaya? Apakah kebaikan dan faedah rancangan itu? Sebagaimana kata Edward de Bono, “Pemikiran begini, memberi laluan kepada wawasan dan impian.”
-Topi Hijau: Lihat isu itu dari sudut pandang kreatif, dan cuba cari cara-cara lain bagi menjana idea-idea baru.
-Topi Biru: Lihat isu-isu itu dari sudut pandang yang mengawal proses berfikir dan membuat keputusan.
Ini ditentukan oleh pengerusi ataupun ketua mesyuarat yang perlu mendefinisikan isu dengan seberapa jelas yang boleh.
Asingkan aspek-aspek subjektif dan emosi sesuatu isu daripada fakta objektif, supaya kita dapat memahami sepenuhnya.
Kita akan menyambung tajuk pada kali ini pada siri kedua minggu hadapan dengan menerangkan mengenai ‘Membuat siasatan Apresiatif’ dan ‘Berfikir secara rawak’.