Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Bergadai nyawa demi trufel

    Gambar AFP

    HAMA, SYRIA – Di sebuah pasar Syria, beg-beg penuh berisi dengan cendawan trufel padang pasir, satu hidangan istimewa bermusim di mana orang berani mengambil risiko untuk mengutipnya, dengan mengharungi serangan kumpulan Islamic State (IS) dan periuk api.

    “Ini satu hidangan istimewa yang ‘dicelup’ dalam darah,” kata peniaga Mohammed Salha, 31, sambil menunjukkan trufel yang dikumpulkannya selama seminggu berdekatan kampungnya di wilayah tengah Hama.

    “Setiap hari saya keluar dari rumah tanpa mengetahui sama ada saya akan kembali kepada isteri dan anak perempuan saya,” katanya sambil mengikat skarf keffiyeh coklat di kepala.

    “Kami menggadai nyawa kami tetapi kami tidak lagi kisah, kami mahu menyara anak-anak kami,” beritahunya kepada AFP, lingkaran gelap menampakkan matanya yang lelah.

    Antara Februari dan April, beratus-ratus penduduk Syria yang miskin mencari hidangan istimewa yang menguntungkan di Padang Pasir Syria yang terbentang luas, atau Badia – tempat persembunyian terkenal anggota IS yang juga dipenuhi periuk api.

    Seorang peniaga membantu seorang wanita ketika dia memilih trufel di sebuah gerai di pasar di bandar Hama, barat Syria.
    Peniaga mempamerkan trufel mereka di sebuah pasar di bandar Hama, barat Syria.

    Seorang peniaga mengasingkan trufel padang pasir di sebuah pasar.
    Gambar menunjukkan trufel padang pasir yang dijual di sebuah pasar di bandar Hama.

    Sehingga musim ini, lebih daripada 130 pemburu trufel telah terbunuh, kebanyakannya dalam serangan hendap oleh pejuang jihad atau dalam letupan periuk api, menurut pemerhati perang Pihak Berkuasa Hak Asasi Manusia Syria.

    Terkenal dengan kualitinya yang tinggi, trufel padang pasir Syria mempunyai harga jualan yang tinggi di negara yang dibelenggu peperangan 12 tahun dan krisis ekonomi yang melarat.

    Di pasar di bandar Hama, cendawan trufel boleh dijual sehingga AS$25 setiap kilogram bergantung pada saiz dan gred di sebuah negara di mana gaji bulanan purata adalah sekitar AS$18.

    “Kami memperoleh keuntungan besar semasa musim trufel selama dua bulan, tetapi kami membahayakan diri,” kata Salha dengan senyuman yang dibuat-buat.

    Cendawan trufel yang besar dan kecil membonjol dari bakul, dulang dan beg serap kain, sesetengahnya bertimbun dalam tong plastik kotor atau diletakkan terus di atas laluan pejalan kaki.

    “Jualan lelong! Jualan lelong!” jerit salah seorang daripada puluhan penjual ketika pembeli borong berpusu-pusu mengerumuni pasar untuk membida tawaran bagi lot 50 kilogram.

    Penjual Omar al-Boush membuka jualan lelong pada harga setara AS$4.50 bagi setiap kilo dalam mata wang Syria – dan harga itu naik hampir dua kali ganda dalam masa yang singkat.

    “Kami mempunyai jenis cendawan trufel yang sesuai untuk golongan berpendapatan sederhana,” kata Boush, 52, yang memakai keffiyeh merah dan putih di lehernya.

    “Sesetengah keluarga lebih suka membeli cendawan trufel daripada daging,” katanya sambil meletakkan cendawan trufel putih yang besar di gerainya dengan jari-jemari berlumuran kotoran.

    Pelbagai jenis cendawan trufel berlainan dikutip di padang pasir yang merentasi kawasan tengah Syria hingga sempadan timur dengan Iraq.

    Penjual memberitahu AFP bahawa cendawan trufel hitam yang ditemui di kawasan padang pasir di wilayah Hama dan Aleppo dijual pada harga paling tinggi.

    Jamaleddine Dakak, seorang pemborong dari Damsyik, mengatakan bahawa beberapa peniaga membeli cendawan trufel berkualiti tinggi dan mengeksportnya ke negara jiran Iraq dan Lubnan, manakala yang lain dilaporkan diseludupkan ke negara-negara kaya di Teluk melalui Jordan.

    Duduk di belakang gerainya, penjual Yusuf Safaf berkata dia membeli trufel daripada orang Badwi yang datang ke Hama pada waktu pagi – ada di antara mereka dengan ‘darah pada pakaian mereka’.

    “Ada di antara mereka telah kehilangan ahli keluarga semasa mengutip cendawan trufel – tetapi mereka masih terus melakukannya kerana mereka tidak mempunyai pilihan,” kata lelaki berusia 43 tahun itu.

    “Terdapat periuk api, perompak dan kawasan yang luas di mana ramai anggota IS berada,” tambah Safaf.

    “Penduduk mengorbankan nyawa mereka hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

    Pemburu cendawan tersebut mengambil risiko itu walaupun telah diberi amaran berulang kali di media Syria.

    Dalam laporan awal bulan ini, sumber ketenteraan memberi amaran orang ramai supaya jangan memburu cendawan trufel ‘kerana sesetengah kawasan masih belum diisytiharkan selamat’ daripada periuk api dan pejuang IS.

    Jihad al-Abdullah, 30, kehilangan kaki apabila periuk api meletup ketika dia sedang memandu untuk mengutip cendawan trufel di kawasan timur Hama.

    Kini, dia berjalan dengan bantuan topang ketiak, tetapi dia berkata ada kalanya dia masih pergi mengumpul cendawan trufel dan telah menghabiskan sebahagian besar musim ini menjual cendawan trufel yang dikutip oleh adik-beradiknya.

    “Saya tidak mempunyai apa-apa yang merugikan setelah kehilangan kaki saya,” kata Abdullah, terbaring di atas tanah berhampiran gerai jualannya.

    “Saya terus bekerja untuk mencari rezeki harian. Yang lain terserah kepada Allah,” katanya.

    Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada 10 juta orang tinggal di kawasan yang dicemari bahan letupan di seluruh negara.

    Berdasarkan angka PBB, bahan letupan yang ditanam di ladang, di sepanjang jalan, bahkan di dalam bangunan oleh semua pihak dalam konflik Syria telah membunuh 15,000 orang antara tahun 2015 dan 2022.

    Abdullah berkata mengutip trufel bagaikan bermain kad terup.

    “Kadang-kadang kamu menang, kadang-kadang kamu kalah,” katanya.

    “Ini adalah pertaruhan yang telah saya terima.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...