DALAM kesibukan diri menguruskan rutin kerja dan tanggungjawab di rumah ada kalanya hati sering memberontak ingin meluangkan sedikit waktu untuk menyentuh konsol permainan video yang kadang kala hanya kelihatan terletak begitu sahaja di rak berdekatan televisyen tanpa terusik.
Justeru, sekiranya anda masih terus ingin mencari hiburan melalui aktiviti-aktiviti tersebut maka permainan video berkonsep pertempuran atau pertarungan setentunya sesuai dilakukan dalam tempoh masa yang singkat memandangkan ia tidak memerlukan pemain melalui aksi kembara dalam biasanya berlangsung dalam tempoh yang lama.
Arc System Works telah menerbitkan sebuah permainan video yang menampilkan aksi pertempuran yang ditampilkan dalam paparan skrin 2D berjudul BlazBlue: Cross Tag Battle.
Menariknya, Arc System Works turut bekerjasama dengan studio penerbitan lain seperti Atlus, French Bread dan Rooster Teeth sekali gus memberi peluang bagi karakter-karakter popular daripada siri permainan video lain seperti Persona 4 Arena, Under Night In-Birth dan RWBY turut ditampilkan sama selain karakter dari BlazBlue.
Terkumpul secara mengejut
Kisah bermula apabila suatu kuasa aneh dikenali sebagai Phantom Field telah muncul dalam dunia Blazblue sekali gus menyebabkan kebimbangan dalam kalangan penduduknya.


Wira-wira dari BlazBlue setentunya telah berusaha sedaya upaya untuk melindungi penduduknya yang berada di kawasan sekitarnya.
Ternyata bukan itu sahaja, kuasa Phantom Field yang muncul secara tiba-tiba juga turut membuka portal di beberapa buah dunia yang lain seperti Persona 4 Arena, Under Night In-Birth dan RWBY sekali gus turut menghubungkannya dengan dunia BlazBlue.
Setentunya, wira-wira dari dunia lain tersebut berasa terkejut tatkala diri mereka diserap masuk ke dalam dunia Blazblue.
Hanya satu cara sahaja untuk mereka kembali ke dunia masing-masing iaitu dengan memburu kunci rahsia yang tersimpan di tempat tersembunyi.
Malangnya, kunci rahsia tersebut juga telah dibahagikan kepada empat bahagian dan terpisah di beberapa buah tempat yang berbeza.
Maka wira-wira tersebut harus berebut dan berusaha untuk mendapatkan kunci berharga tersebut yang menjadi peluang kembali ke dunia asal mereka.
Bertempur sambil memberikan bantuan
Berikutan daripada munculnya kuasa Phantom Field yang menyerang beberapa buah kawasan, maka wira-wira daripada dunia berbeza juga bertempur dalam usaha merebut peluang kembali ke dunia asal mereka.
Antara barisan wira yang boleh menjadi pilihan kepada pemain seperti Ragna, Jin, Rachel, Hazama, Noel, Azrael, Tager, Makoto, Nu-13, Es, Platinum, Jubei dan Hakumen dari dunia BlazBlue, Yu, Yosuke, Chie, Yukiko, Kanji, Aegis dan Naoto dari Persona 4 Arena, Hyde, Linne, Waldseti, Gordeau, Orie, Carmine dan Vatista dari Under Night In-Birth dan Ruby, Weiss, Blake dan Yang dari RWBY.


Pada dasarnya, BlazBlue Cross Tag Battle memberi kebenaran kepada pemain untuk melakukan aksi pertarungan pada sistem dua lawan dua.
Sebagaimana dalam permainan video berkonsepkan pertarungan lain, pemain juga berpeluang untuk melakukan serangan ringan, serangan kuat yang memberikan kesan maksima, serangan hendap, serangan balas dan sebagainya.
Setiap karakter juga turut dilengkapi dengan kuasa serangan istimewa berdasarkan kepada meter Cross Burst yang turut dipaparkan di skrin televisyen.
Sekiranya pemain berhasrat untuk melancarkan kuasa istimewa tersebut, maka meter Cross Burst tersebut harus sentiasa dipenuhi.
Bersesuaian dengan judulnya BlazBlue Cross Tag Battle, pemain juga boleh menjamin di antara satu karakter yang lain untuk membantu melakukan serangan sama ada dari jarak dekat ataupun jarak jauh.
Seperkara yang menarik adalah apabila pemain turut berpeluang melancarkan kuasa istimewa bersama-sama dengan karakter lain yang dikawal.
Terdapat beberapa mod tersendiri yang ditampilkan dalam permainan video seperti Story Mode yang memberikan peluang melakukan aksi pertarungan dengan pihak musuh berdasarkan kepada jalan cerita pada setiap karakter yang tersendiri.
Di samping itu, terdapat juga mod Online yang memberi peluang untuk bertarung dengan pemain lain di alam maya.
Justeru, sekiranya pemain teruja untuk mencuba sendiri keseronokan aksi pertarungan sambil menyeru bantuan daripada kuasa lain maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam BlazBlue Cross Tag Battle yang dikeluarkan untuk platform PlayStation 4, Nintendo Switch dan Microsoft Windows.

































