Oleh Syahmi Hassan
Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38, ‘Menjayakan Wawasan Negara’ jelas menunjukkan negara berpegang teguh menjulang hasrat negara ke arah merealisasikan wawasan negara 2035.
Hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang maju dengan matlamat-matlamat utama iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi; berkemahiran dan berjaya; rakyat mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi; dan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan merupakan yang terkandung dalam wawasan berkenaan.
Dalam pada itu, kesihatan adalah perkara yang sangat penting dalam menyokong menjayakan kesemua matlamat-matlamat tersebut, terutama agar rakyat mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.
Bagi memastikan ia dicapai, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan telah menyediakan perubatan dan penjagaan kesihatan percuma kepada rakyat dan penduduk melalui hospital-hospital kerajaan, pusat-pusat penjagaan kesihatan dan klinik-klinik kesihatan.
Sejak berlakunya gelombang pertama COVID-19 pada bulan Mac 2020, diikuti dengan gelombang kedua (yang disebabkan oleh varian Delta) dan ketiga (yang disebabkan oleh varian Omicron) yang masing-masing berlaku pada bulan Ogos 2021 dan bulan Februari 2022, sistem penjagaan kesihatan di negara ini sangat terjejas akibat impak COVID-19.
Walau bagaimanapun, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan serta Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah dan sedang memikirkan strategi-strategi yang dihasratkan akan dapat mengawal risiko penyakit yang disebabkan jangkitan COVID-19, meringankan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan negara dan lebih penting lagi, memulihkan kehidupan seharian pasca COVID-19 agar kembali kepada normal dan sekali gus memulihkan keadaan ekonomi negara yang telah terjejas disebabkan pandemik.
Pada bulan Oktober 2021, satu Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 telah dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam sebagai usaha untuk membawa negara keluar daripada keadaan pandemik kepada endemik.
Rangka kerja tersebut meliputi tiga fasa iaitu Fasa Persiapan, Fasa Peralihan dan Fasa Endemik. Semasa negara berada dalam Fasa Persiapan, langkah-langkah kawalan pergerakan dan pelaksanaan Operasi Pulih telah dilaksanakan serta liputan vaksinasi juga dipercepatkan.
Setelah itu, semasa Fasa Peralihan, apabila liputan program vaksinasi kebangsaan mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus dari jumlah penduduk negara ini yang melengkapkan dua dos, terdapatnya pengurangan langkah-langkah pengawalan secara berperingkat dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuklah pembukaan semula masjid, pejabat, ekonomi dan persekolahan.
“Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baharu, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak ke hadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah SWT. Maka dalam hubungan ini, Beta bertawakal kepadaNya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik negara pada Hari Rabu, 10 Jamadilawal 1443 bersamaan dengan 15 Disember 2021,” demikian titah perutusan khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 11 Disember 2021.
“Dalam fasa ini, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. Tetapi sebaliknya, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan di kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baharu. Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha kerajaan.
“Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan.
“Tidak dapat dinafikan, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih saja ada. Oleh itu kita janganlah lalai dari terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan normal baharu adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan. Namun pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.”
Berikutan itu, pada 15 Disember 2021, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Brunei telah memulakan Fasa Awal Endemik dengan lebih banyak kelonggaran dilaksanakan dari segi status vaksinasi, had kapasiti, sesi persekolahan dan juga rancangan bagi aktiviti rentas sempadan.
Namun, disebabkan oleh kemunculan varian baharu Omicron yang membimbangkan di luar negara selang beberapa hari setelah Fasa Awal Endemik dilaksanakan, negara telah menarik semula rancangan aktiviti rentas sempadan itu.
Pada awal bulan Februari 2022, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan negara sedang mengalami gelombang ketiga COVID-19 dan jumlah kes semasa gelombang ini dijangka akan meningkat melebihi jumlah yang dilaporkan semasa gelombang kedua.
Walau bagaimanapun, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 semasa gelombang ketiga dijangka akan terus berada di tahap yang rendah dan tidak melebihi jumlah semasa gelombang kedua.
Berikutan kenyataan tersebut, negara telah menyaksikan penularan COVID-19 yang begitu tinggi dengan saban hari jumlah kes semakin meningkat hingga mencecah lebih dari 2,000 kes sehari. Namun, seperti yang dinyatakan, jumlah kes yang berada dalam kategori 4 dan 5 adalah di tahap yang rendah.
Untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam menangani COVID-19 di Negara Brunei Darussalam berikutan dengan kenaikan kes yang begitu tinggi, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan empat protokol kesihatan yang baharu sesuai dengan keadaan semasa.
Mengambil kira keadaan peningkatan kes-kes positif COVID-19 yang tinggi pada masa ini dan di mana lebih 99 peratus daripadanya adalah mereka di dalam kategori 1 dan 2, Kementerian Kesihatan telah mengemas kini tatacara pengurusan kes-kes positif di mana pengurusan kes-kes positif di pusat-pusat pengasingan akan tertumpu kepada kes-kes dalam kategori 3 hingga 5 yang memerlukan rawatan perubatan sahaja, dan kes-kes dalam kategori 1 dan 2 dibenarkan menjalani pengasingan diri di rumah.
Manakala pengesahan status jangkitan COVID-19 dikembangluaskan kepada penggunaan ART iaitu tidak hanya bergantung kepada ujian swab RT-PCR sahaja. Sehubungan itu, empat protokol kesihatan baharu bagi mereka yang dikenal pasti positif COVID-19 telah diperkenalkan, bergantung pada situasi yang mereka hadapi.
Justeru walau apa jua perkara yang dihadapi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan akan sentiasa memikirkan dan melaksanakan jalan yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah yang berkaitan dengan kesihatan, terutamanya pada masa kini yang berkaitan dengan COVID-19 demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat dan penduduk yang tinggal di Negara Brunei Darussalam, bersesuaian dengan wawasan negara 2035 dalam memberikan rakyatnya kualiti kehidupan yang tinggi.