Oleh Yusrin Junaidi & Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Kementerian Kesihatan tahun ini menjadi tuan rumah sekali gus menjadi pengerusi bagi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Mengenai Pembangunan Kesihatan (SOMHD) ke-12 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan itu dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin dan dihadiri oleh lebih kurang 118 orang delegasi terdiri daripada para pegawai kanan kementerian kesihatan dari negara-negara anggota ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea.
Dr. Hajah Maslina dalam ucapan alu-aluannya telah menekankan perlunya penglibatan dan kerjasama padu yang berterusan daripada setiap negara ASEAN ke arah menangani cabaran kesihatan yang biasa dihadapi di rantau ini serta memastikan hasil daripada Mesyuarat SOMHD berkenaan sejajar dengan Agenda Pembangunan Kesihatan ASEAN selepas tahun 2015 dan matlamat pembangunan mapan.
Beliau berkongsi beberapa isu penting kepada sektor kesihatan Brunei dalam mesyuarat itu adalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesity yang merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan SOMHD dan dalam mempromosikan kesihatan awam.
“Menerusi mesyuarat ini, kami mahu mempelajari dan berkongsi amalan-amalan terbaik daripada negara-negara lain kerana isu-isu kesihatan telah mempunyai ciri-ciri sama di negara-negara di rantau ini. Apa yang berlaku kepada negara lain juga menjejaskan kita,” katanya dengan memetik wabak penyakit berjangkit baru-baru ini seperti virus Zika.



Sementara itu, Pengarah Direktorat Pembangunan Manusia di Sekretariat ASEAN, Rodora Turalde Babaran yang turut sempat ditemui, melahirkan harapan bahawa dengan adanya mesyuarat berkenaan mereka akan dapat mempertimbangkan dan memutuskan keutamaan-keutamaan tertentu mengenai pembangunan kesihatan.
Beliau berkata, mesyuarat kali ini turut membentangkan mengenai isu-isu yang sedang giat dibincangkan antaranya tatacara hidup sihat, penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit, epidemik dan banyak lagi. Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa mesyuarat berkenaan juga memfokuskan kepada perbincangan mengenai agenda-agenda serta isu-isu kesihatan di rantau ASEAN dan aktiviti-aktiviti yang akan dirancang bagi menangani isu-isu berkenaan di samping mencapai matlamat ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint yang dipersetujui oleh ketua-ketua ASEAN.
Dalam mesyuarat kali ini, empat agenda utama dibincangkan iaitu mengenai mempromosi cara hidup sihat, memberi respons pada semua bahaya dan ancaman baru, mengukuhkan sistem kesihatan dan akses kepada penjagaan kesihatan serta memastikan keselamatan makanan.
Menurut kenyataan itu lagi, kepentingan perbincangan kepada agenda berkenaan adalah sangat relevan bagi Negara Brunei Darussalam kerana ia selaras dan menyokong ketiga-tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan Brunei iaitu untuk menerapkan kesihatan tanggungjawab semua, di samping mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit dan seterusnya memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan penyejajaran perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.