Bergelap bil tertunggak AS$93 juta

MANILA, FILIPINA, 2013 – Seluruh wilayah Albay di bahagian tengah Filipina berada dalam kegelapan selepas pengendali grid tenaga negara itu memotong bekalan elektrik kerana hutang bil tertunggak yang mencecah AS$93 juta.

Gangguan bekelan elektrik berpanjangan mengejutkan para penduduk wilayah tersebut yang mempunyai penduduk seramai 1.2 juta orang.

“Keadaan benar-benar gelap pada waktu malam. Dengan keadaan hujan di sini, ia seolah-olah kita sedang dilanda taufan,” kata seorang kakitangan syarikat insurans kesihatan, Cristie Recebido.

Beliau berkata kedai-kedai di Legazpi ditutup awal, manakala hospital dan pejabat mendapatkan bekalan tenaga elektrik menggunakan generator.

Jabatan Tenaga berkata notis pemotongan sudah diberikan kepada Albay Electric Cooperative kerana ia gagal menyelesaikan hutang mencecah hampir 4 bilion peso (AS$93 juta) sejak 15 tahun lepas.

Gabenor Albay, Joey Salceda berkata beliau berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dan berjanji mengembalikan bekalan elektrik dalam tempoh dua hari.