Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bergelar hajah pada usia muda

    KUCHING, 19 Sept – Pada usia 25 tahun, Nur Fadzleena Mohd Najib antara jemaah haji yang bertuah dapat menunaikan rukun Islam kelima itu pada usia muda.

    Tambah menarik, Nur Fadzleena menunaikan haji bersama tiga lagi adik-adik perempuannya, Nur Farishya, 18; Nur Fathiah 23 dan Nur Farhana, 21, ibu bapa serta dua bapa saudara bersama isteri masing-masing.

    “Apabila dimaklumkan terpilih untuk menunaikan haji sekitar Mei 2017 lalu, saya dan adik-beradik memang rasa sangat bersyukur dapat pergi pada usia agak muda.

    “Kami pergi 10 orang syukur pergi  sebagai keluarga kalau pergi asing-asing susah sebab kita tidak pasti keadaan di sana, kalau satu keluarga  boleh bantu-membantu,” katanya yang tinggal di Jalan Depo, Kuching. Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Nur Fadzleena kakitangan swasta yang bertugas di Kuala Lumpur berkata dia mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan untuk menguruskan proses serta menunaikan haji.

    Empat adik-beradik (dari kiri) Nur Fadzleena, 25, Nur Farhana, 21, Nur Fathiah, 23, Nur Farishya, 18, merupakan sebahagian daripada 156 jemaah haji kumpulan pertama dari Sarawak yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kelmarin. – Bernama

    “Pengalaman menunaikan haji banyak memberi pengajaran, sangat mengajar untuk saya dan ahli keluarga bersabar.

    Di sana banyak masa kita perlu tunggu, beratur serta bertolak ansur. Kita boleh lihat perangai manusia sama ada bersabar atau tidak, mementingkan diri atau tidak. Apa yang saya boleh simpulkan menunaikan haji mengajar saya untuk banyak bersabar,” katanya.

    Ketika ditanya urusan jemaah Malaysia di bawah kendalian Tabung Haji, Nur Fadzleena berkata jemaah negara ini sangat bertuah mempunyai sebuah agensi yang menguruskan secara sistematik.

    “Tabung Haji sangat menjaga jemaah Malaysia, mereka beri segala-galanya dari segi maklumat, sentiasa dikemaskini jika berlaku sebarang perubahan.

    “Saya lihat jemaah dari negara lain mereka ada menghadapi kesulitan  tidak (seperti) jemaah Malaysia di bawah jagaan Tabung Haji. Kalau tidak ada Tabung Haji tidak tahu bagaimana perjalanan menunaikan haji jemaah Malaysia,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Tabung Haji Sarawak Zaiton Mohd Yusoff  berkata 156 daripada 1,304 jemaah haji dari Sarawak tiba di KIA hari ini.

    Katanya penerbangan terakhir membawa jemaah Sarawak dijangka pada 25 September ini.

    “Empat jemaah lelaki meninggal (dunia), seorang di Madinah manakala tiga lagi di Mekah.

    Hossain Fauzi, 64, dari Debak meninggal akibat pneumonia, Majidi Sarbini, 64, dari Kota Samarahan (jangkitan kuman), Halim Dawi, 76, dari Kabong (kegagalan jantung) dan Ibrahim Juni, 65, dari Kuching akibat jangkitan kuman,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda