Bergiat aktif dalam satu kumpulan

Kumpulan Saja tidak ralat biarpun terpaksa mengambil masa agak panjang untuk diterima oleh penggemar muzik arus perdana.

Ditubuhkan pada 2012, kumpulan yang memperjuangkan genre ‘fusion rock’ itu berpuas hati dengan kerjaya muzik mereka, namun enggan mengehadkan pergerakan di gelanggang indie atau bebas semata-mata.

“Biarpun mungkin ada yang menganggap perjalanan kumpulan ini agak perlahan dan mengambil masa, berbanding artis lain, ia tidak mematahkan semangat kami. Sebaliknya, kami berusaha keras untuk memberikan yang terbaik,” kata anggotanya, Akmal, 37, yang juga sebahagian daripada kumpulan Mirwana.

Selain dirinya, kumpulan itu turut dianggotai oleh pemuzik berpengalaman lain iaitu Faisal Firdaus, 29, Syafiq Hady, 30, Ezad Shazrul, 30, Faiz Arif, 28, Tuah Zaini, 26 dan Azman Mansor, 35. Terbaharu, kumpulan terbabit muncul bersama album berjudul Burung Gagak Tua yang memuatkan 11 lagu. Selain lagu yang turut dipilih sebagai judul album, mereka juga menyelitkan dua single terdahulu, Ku Jatuh Cinta dan Tarapapa Hey (Ole) dengan menampilkan Ultras Malaya.

“Hasil perbincangan bersama, kami mencapai kata sepakat untuk tampil dengan judul Burung Gagak Tua, yang menjadi simbolik kepada permulaan kehidupan seseorang selepas berhadapan sesuatu perkara. Ia memberi makna mendalam dan dapat difahami menerusi seni katanya. Memandangkan kami mengeluarkan wang daripada poket sendiri, album ini bersifat peribadi buat setiap anggota saja,” kata Akmal.

Album terbabit juga memuatkan lagu Gadis, Cari Cinta Di Mana Dia, Aku Yang Kau Lupa, Aina, Penanggung Rindu, Dia Cahaya, Ku Jadi Diriku dan Memilikimu (trek bonus menampilkan Dean Eiman). – Agensi

Kumpulan terbabit muncul bersama album berjudul Burung Gagak Tua yang memuatkan 11 buah lagu. – Agensi