Bergotong-royang melalui projek kemasyarakatan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 20 Jan – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Beruang telah mengadakan Projek Kemasyarakatan dengan memperbaiki jalan-jalan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Tutong, baru-baru ini.

Turut hadir menyertai projek tersebut ialah Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman bersama ahli Jawatankuasa MPK Bukit Beruang dan beberapa orang penduduk kampung.

Projek kemasyarakatan yang diadakan melibatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan beberapa batang jalan yang berlubang dengan menembok dan menyimen jalan yang berlubang.

Selain menyumbangkan bahan-bahan seperti pasir, simen dan batu beberapa orang kampung juga menyediakan makanan dan minuman kepada ahli-ahli MPK yang terlibat dalam melaksanakan projek berkenaan.

Projek berkenaan merupakan salah satu projek kemasyarakatan yang dijalankan oleh MPK Bukit Beruang dan akan dilaratkan lagi di kawasan lain bagi memastikan keselamatan masyarakat khususnya pengguna jalan raya.

Antara yang mengambil bahagian dalam projek kemasyarakatan tersebut.