Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    ‘Berharap dan berdoa padanya’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ke-23 diteruskan lagi kelmarin dengan penyertaan warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi, para muslimah masjid dan jemaah daripada 47 buah masjid di seluruh negara secara maya.

    Hadir pada majlis Malam Munajat itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta para pegawai kementerian terbabit.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew diikuti bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan doa munajat memohon keampunan daripada Allah SWT dan terhindar dari bala bencana serta penyakit berbahaya.

    Tazkirah bertajuk ‘Pengajaran Kisah Sahabat Nabi’ mengisi slot minggu ini, disampaikan oleh penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Mohammed Khairul Mu`az bin Haji Sibodaud, dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

    Dalam tazkirah itu, beliau mengongsikan amalan para sahabat Nabi Muhammad SAW apabila diuji oleh Allah SWT, dan apa yang para sahabat lakukan agar doa mereka dikabulkan.

    Beliau seterusnya menyeru supaya kita sentiasa berharap dan berdoa agar Allah SWT mengampuni dosa-dosa serta mengabulkan doa kita, diiberi kesabaran dengan berusaha, bertawakal dan berdoa seperti para sahabat Rasulullah SAW.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam mengetuai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang turut dihadiri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...