Berharap pengganti lebih baik

Jalan hidupnya sudah tertulis dengan dugaan perpisahan pada usia masih muda iaitu 25 tahun, namun itu bukan alasan untuk Bella Astillah mengalah dalam meneruskan langkah.

Biarpun pahit untuk ditelan, Bella berkata, perceraiannya dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada 16 Mei lalu, mengingatkan dirinya supaya tidak terus meratapi nasib. Baginya, dia juga berhak mencari bahagia dengan mencintai dan menyayangi dirinya terlebih dahulu sebelum memberi sepenuh kepercayaan kepada insan lain.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mengakui dia sudah tekad mahu melupakan segala-galanya. Baginya, episod hidupnya dan Aliff sudah berada pada garisan penamat, malah apa yang mereka lalui dahulu sudah menjadi sebahagian daripada sejarah yang mematangkan diri.

Wanita kelahiran Sandakan, Sabah itu berkata, dia tidak pernah berniat untuk mengungkit segala kesilapan bekas suaminya kerana akur, dirinya juga bukan manusia yang sempurna. Bella yang juga ibu kepada Mohamad Ayden Adrean, 2, berharap, bekas suaminya itu tidak lagi salah dalam memilih kawan demi masa depannya.

“Jika tertekan dengan dugaan hidup, pergilah berkawan dengan orang yang betul. Dapat kawan yang salah, hidup akan hancur. Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana itu pilihannya selama ini,” katanya. – Agensi

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mengakui dia sudah tekad mahu melupakan segala-galanya. – Agensi