Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) memaklumkan bahawa Self-Propelled Accommodation Jack Up Barge Blue Titanium telah bergerak dan berpindah lokasi dari perairan Pelabuhan Muara ke perairan Padang Minyak Champion 7, iaitu CPLQ07, sejak 6 Mei lalu dan akan berada di lokasi berkenaan sekurang-kurangnya setahun.
PBMP dalam kenyataan yang dikeluarkan turut menyatakan bahawa pemindahan itu akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran.
PBMP juga memberitahu bahawa Self-Propelled Jack Up Barge Blue Tita-nium (call sign: 9V3493) bergerak dari perairan Pelabuhan Muara ke perairan Padang Minyak Champion 7 pada 4 Mei bagi melaksanakan pengangkutan berat di CPWA07 dan juga melaksanakan ‘jack up’ di CPLQ07 pada 6 Mei.
Semasa operasi berkenaan, kemampuannya untuk berolah gerak adalah terhad dan semua kapal berjentera umum dikehendaki untuk tidak mendekati dan menghalangi perjalanannya. AHTS yang bersiap sedia adalah Kapal Executive Aspire (call sign: 9V3753) dan Brupars Pertama (call sign: V8V3135).
Sehubungan itu, para pelaut terutamanya nelayan tempatan dan mana-mana kapal yang berjentera umum dikehendaki untuk tidak berada berdekatan di tempat operasi berkenaan dan dinasihati agar sentiasa berhati-hati apabila berlayar di kawasan tersebut serta senantiasa peka mendengar Radio Marin VHF saluran 15 dan 16.




























