Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berhenti merokok, elak risiko COVID-19

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Perokok berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan COVID-19 lebih parah dan seterusnya boleh menyebabkan kematian berbanding dengan mereka yang tidak merokok ketika dunia masih lagi dibelenggu pandemik.

    Justeru itu, para perokok digalakkan untuk mengambil langkah berhenti merokok, sejajar dengan tumpuan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun bertemakan ‘Komited untuk Berhenti Merokok’ (Commit to Quit).

    Ini kerana merokok merupakan salah satu faktor risiko yang menyebabkan jangkitan paru-paru dan meningkatkan keparahan (severity) penyakit paru-paru dengan COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang biasanya menyerang paru-paru atau sistem pernafasan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar (gambar) menekankan perkara itu dalam perutusannya bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2021 hari ini, menambah tembakau dalam rokok, bukan sahaja membahayakan kesihatan malah nikotin di dalamnya menyebabkan ketagihan.

    Menurutnya lagi, merokok juga boleh merosakkan fungsi paru-paru yang mana akan menyebabkan badan sukar untuk melawan jangkitan virus dan penyakit lain. Oleh itu, para perokok adalah berisiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit lebih teruk apabila terkena jangkitan COVID-19.

    Selain perokok, kadar kematian daripada jangkitan COVID-19 adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetis dan penyakit pernafasan kronik.

    Beliau menambah, kesan negatif penggunaan tembakau jelas terbukti, bukan sahaja di kalangan pengguna, tetapi dalam kalangan mereka yang terdedah kepada asap rokok pasif (secondhand smoke). Kesan penggunaan tembakau menyebabkan lebih kurang 8 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun; lebih daripada 7 juta kematian adalah disebabkan penggunaan langsung (direct use) produk tembakau, manakala lebih daripada 1.2 juta kematian tersebut adalah disebabkan pendedahan kepada asap rokok pasif.

    Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa berhenti merokok bukanlah senang dan sangat mencabar. Nikotin dalam tembakau yang menyebabkan ketagihan juga menyukarkan lagi para perokok untuk berhenti merokok. Daripada 1.3 bilion pengguna tembakau di seluruh dunia, 60 peratus telah menyatakan hasrat untuk berhenti, tetapi hanya 30 peratus sahaja yang mempunyai akses kepada perkhidmatan yang dapat membantu mereka untuk berhenti merokok.

    Menurutnya, di Negara Brunei Darussalam, kita amatlah bersyukur kerana dalam usaha membantu perokok-perokok yang bersedia untuk berhenti merokok kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Pusat-pusat Kesihatan di setiap daerah bagi memberikan khidmat kaunseling serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin kepada mereka yang memerlukannya.

    Dalam kesempatan ini, bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2021 ini, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan kerjasama dan sokongan dari semua pihak dan masyarakat amnya bagi sama-sama memperkasa dan berganding bahu menyokong mereka yang ingin berhenti merokok dan menyeru menjadikan Negara Brunei Darussalam bebas tembakau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda