Berhentilah mengamalkan riba

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SIRI TERAKHIR

Hukum dan balasan terhadap pengamal riba

Berdasarkan maksud Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, pengamal riba akan ditimpa berbagai-bagai akibat dan balasan. Antaranya:

Harta atau wangnya tidak berkat. Bahkan akan hilang atau habis semenjak di dunia lagi. Manakala di akhirat akan diseksa berdasarkan firman Allah SWT yang tafsirnya:

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula yang mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (Surah al-Baqarah: 276)

Riba mengandungi tujuh puluh macam dosa dan dosanya yang paling ringan sekali ialah seperti seorang berzina dengan ibunya sendiri. Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Riba itu mengandungi 70 macam dosa, yang paling ringan sekali umpama seorang lelaki yang menikahi (menggauli) ibunya sendiri.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Setiap mereka yang berurusan dengan riba atau mengamalkannya akan berada jauh dari rahmat Allah sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

Setiap mereka yang berurusan dengan riba atau mengamalkannya akan berada jauh dari rahmat Allah SWT. – Gambar hiasan

“Rasulullah SAW telah melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi wakil pada riba, dan penulisnya, dan dua saksinya. Sabda Baginda: “Mereka itu semuanya sama (pada hukum mengambil riba).” (Hadis riwayat Muslim)

Riba menjadi punca turunnya bala dan bencana di dunia dan azab dan seksa di akhirat. Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Jikalau nyata (berleluasa) perbuatan zina dan riba di suatu kampung, maka mereka telah menghalalkan (membenarkan) atas diri mereka sendiri akan turunnya azab Allah SWT.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Ditakuti mati dalam kesudahan yang buruk.

Disebutkan dalam kitab al-Kaba’ir bahawa pengamal riba akan terus diseksa dari mula masa kematiannya hingga ke hari Kiamat dengan berbagai-bagai seksaan.

Pada hari Kiamat, pengamal riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhoyong-hayang kerana Allah SWT telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia.

Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti riba.” Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba…” (Surah al-Baqarah: 275)

Tidak akan masuk syurga dan tidak dirasakan kepada mereka kenikmatannya berdasarkan hadits Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

“Empat (golongan) diputuskan oleh Allah bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak dirasakan kepada mereka kenikmatannya, (iaitu) orang yang ketagih minum arak, orang yang makan harta riba, orang yang makan harta anak yatim tanpa hak (cara yang benar) dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu-bapanya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Bertaubat daripada amalan riba

Ruang atau peluang untuk bertaubat tetap terbuka luas bagi mereka yang telah sedar dan mengetahui akan keharaman riba. Oleh itu, hendaklah dia berhenti dan tidak berterusan mengamalkan riba. Perkara ini telah diakui dalam firman Allah SWT yang tafsirnya:

“Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah: 275)

Kedudukan wang hasil muamalah riba

Seseorang yang terlibat dengan muamalah riba kemudian bertaubat serta tidak mahu mengulanginya, perkara yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana dengan kedudukan wang interest (faedah) atau bunga yang diperolehi hasil daripada muamalah riba? Apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan dengan wang tersebut?

Perlu diketahui bahawa wang riba merupakan wang atau harta yang tidak diketahui siapa yang empunya atau wang yang tidak bertuan. Harta yang tidak diketahui siapa empunyanya atau tidak bertuan itu adalah menjadi harta Baitulmal.

Oleh yang demikian, wang riba itu:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk dibelanjakan pada kebajikan atau mashlahat umat Islam.

2. Tidak boleh dijadikan sebagai hibah, sedekah dan derma. Ini kerana jika seseorang mahu melakukan kesemua amalan tersebut, hendaklah harta yang disedekahkan, dihibahkan atau didermakan itu, dimiliki oleh orang yang bersedekah atau yang menghibahkan atau yang mendermakan itu.

Sebagai kesimpulan, hukum muamalah riba adalah haram dan telah sabit disebutkan dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Jika seseorang mengetahui bahawa sesuatu itu dijalankan secara riba atau mengandungi riba, maka wajib dia menjauhkan diri daripada bermuamalah dengan individu atau institusi berkenaan. Bermuamalahlah dengan berpaksikan iman dan bukan semata-mata berpaksikan keuntungan harta.