Berhibur dari pentas bumbung

TEHRAN, IRAN – Di atas bumbung bangunan pangsapurinya di Tehran, jari-jemari Mojgan Hosseini, 28, memetik tali qanun, sejenis alat muzik tradisional bertali, sekali gus menghidupkan suasana di ibu negara Iran yang dilumpuhkan oleh koronavirus.

Dengan dewan persembahan ditutup dan ramai dikuarantin di rumah mereka akibat wabak virus paling teruk di Timur Tengah, Hosseini dan pemuzik Iran lain kini mencari ruang persembahan di mana yang mungkin.

Ia termasuk di atas bumbung yang berselerak dengan tangki air dan serpihan, beranda depan yang kosong serta tingkap pangsapuri yang dibuka. Alunan muzik mereka berkumandang di kawasan sekitar di mana penduduk terkurung dalam rumah mereka, bimbang dengan penyakit yang dibawa oleh virus COVID-19.

Konsert tanpa persediaan mereka menerima pujian dan menawarkan harapan kepada pendengar mereka, walaupun ketika persembahan awam masih dikawal rapi di negara Republik Islam itu.

“Kami bukan pekerja perubatan barisan depan, penjaga hospital atau pekerja perniagaan barang runcit, tetapi saya fikir ramai ahli muzik, termasuk diri saya, mempunyai kewajipan untuk menawarkan perkhidmatan kami dengan tujuan menenangkan dan menghiburkan mereka dalam masa yang sukar ini,” kata Arif Mirbaghi, yang bermain bes di depan halamannya.

Behnam Emran bermain akordion di bumbung rumahnya. – AP
Mojgen Hosseini, ahli Orkestra Kebangsaan Iran bermain qanun di bumbung rumahnya ketika kuarantin di Tehran, Iran. – AP

Penggubah dan pemuzik Midya Farajnejad bermain tar di atas bumbung rumah di Tehran, Iran. – AP

Iran telah terjejas teruk oleh virus dengan lebih 76,000 kes disahkan, termasuk lebih daripada 4,700 kematian.

Pemuzik telah lama menjadi tulang belakang kehidupan penduduk Iran, yang wujud sejak empayar Persia. Menurut legenda, Raja Jamshid, raja keempat Dinasti Pishdadian, dikenali sebagai ‘raja dunia,’ mencipta muzik dengan alat muzik empat tali lyre.

Dalam abad berikutnya, pengaruh Barat membawa bersamanya simfoni Eropah. Pada mulanya selepas Revolusi Islam 1979, muzik pop dan pengaruh kebaratan telah lenyap. Muzik klasikal beransur-ansur muncul semula pada tahun 1990an dan telah menjadi semakin popular.

Namun kaum wanita masih tidak boleh menyanyi di depan penonton termasuk lelaki dan golongan yang tidak berpegang pada dasar keras telah menghapus konsert yang tidak menghiraukan sekatan kebudayaan yang dikenakan oleh ahli teokrasi Syiah di Iran.

Namun pandemik koronavirus telah melonggarkan beberapa sekatan, tatkala doktor dan jururawat menari dalam video media sosial yang sebelum ini mungkin digunakan sebagai alasan untuk penahanan.

Di antara mereka yang menggunakan bumbung pangsapuri adalah pemuzik wanita seperti penggubah dan pemain tar berusia 36 tahun, Midya Farajnejad.

Tar ialah alat muzik bertali dengan leher panjang.

“Bukan senang untuk saya tinggal di rumah dan tidak berada di pentas atau di studio semasa kurantin, maka saya bermain tar di atas bumbung, untuk berkongsi perasaan saya bersama jiran,” kata Farajnejad sewaktu masa rehat dalam satu sesi baru-baru ini.

Pemuzik lain, seperti pemain akordion Kaveh Ghafari, 26 tahun, bersetuju.

“Sepanjang tempoh kuarantin ini, satu-satunya tempat yang saya rasa saya boleh berkongsi muzik saya adalah di halaman rumah saya dengan jiran sebagai penonton utama saya,” kata beliau. “Saya boleh rasa pengaruh seni yang lebih hebat lebih-lebih lagi sekarang.”

Bagi Hosseoni, pemain qanun, muzik memberinya kebebasan yang tidak dimilikinya sebagai ahli Orkestra Kebangsaan Iran.

Hanya bunyi cicip burung atau motosikal yang boleh kedengaran sekali-skala tatkala beliau bermain qanun pada satu petang baru-baru ini.

“Sejak COVID-19 melanda Tehran, teres bumbung pangsapuri saya telah menjadi pentas untuk saya membuat persembahan dan jiran saya telah menjadi penonton utama saya sekarang,” kata beliau. – AP