Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    ‘Berhijrah hanya untuk sementara waktu’

    YANGON – Para pengukir dari Darpein, Myanmar, yang terkenal sebagai pusat ukiran kayu negara itu, terpaksa memindahkan perniagaan mereka ke kawasan lain di Myanmar kerana kekurangan bahan mentah.

    Lazimnya dikenali sebagai kampung arca kayu Darpein, sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 50 kilometer dari timur laut pusat bandar Yangon itu merupakan tempat asal kepada lebih 1,000 pengukir kayu.

    Pertukangan mengukir kayu merupakan mata pencarian utama penduduk di pekan kecil itu, yang menempatkan kebanyakan pengukir kayu terkenal di negara Asia Tenggara itu.

    Ukiran kayu yang indah di bandar itu terkenal di dalam negara dan di seluruh dunia melalui pelancong yang telah melawat negara itu.

    Walau bagaimanapun, pengukir kayu kini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kayu jati dan kayu berkualiti tinggi lain yang digunakan untuk arca mereka.

    Salah seorang tukang mengukir sebuah arca buaya di Yangon, Myanmar. – Xinhua
    Pertukangan mengukir kayu merupakan mata pencarian utama penduduk di Darpein. – Xinhua

    Di samping itu, sekatan pembalakan dan kesukaran dalam menghantar arca adalah faktor lain yang telah mencetuskan penghijrahan pengukir kayu dari pekan kecil itu.

    “Kira-kira 75 peratus pengukir kayu dari Darpein kini bekerja di tempat lain,” beritahu Ohmar Linn, seorang pengukir yang perniagaannya berpindah dari Darpein ke ibu kota Nay Pyi Taw tahun lepas, kepada Xinhua.

    Beberapa pengukir dari Darpein berada di tengah Myanmar, Bagan, dan ada yang berada di bandar sempadan seperti Tachilek, katanya. Mereka kini bekerja di pelbagai kawasan di negara.

    “Mereka tidak akan meninggalkan Darpein untuk tempoh masa yang lama. Mereka akan kembali apabila kerja mereka selesai,” beritahu Aung Htay, 62, seorang pengukir kayu yang bengkelnya memberi tumpuan kepada pembuatan patung tradisional, kepada Xinhua.

    Beliau berkata para pengukir di bandar itu menyaksikan penurunan permintaan terhadap karya mereka, khususnya karya seni yang dibuat untuk pelawat asing, sejak dua tahun lalu di tengah pandemik COVID.

    “Walaupun begitu, permintaan baharu terhadap ukiran patung tradisional terutama yang diperbuat daripada kayu jati hitam, kini semakin meningkat,” kata pengukir itu.

    Ayeyar Aung, 31, salah seorang pengukir kayu yang memilih untuk tinggal di Darpein, kelihatan memberikan sentuhan akhir pada ukiran harimau di bengkelnya di Darpein.

    “Bersama-sama dengan arca roh pelindung perjalanan air dan buaya, harimau itu adalah tempahan dari wilayah Ayeyarwaddy,” katanya.

    Ketiga-tiga abangnya adalah pengukir kayu, dan mereka mewarisi kraf kayu tradisional daripada nenek moyang mereka, kata Ayeyar Aung, menambah mereka bekerja di Darpein kerana mereka terus menerima tempahan di sana.

    Abang Ayeyar Aung, Pyae Sone Aung, memenangi hadiah pertama dalam pertandingan arca kayu terbesar Myanmar pada 2019, dan dia adalah salah seorang pengukir paling terkenal di negara itu.

    “Ada yang kekal di sini kerana perniagaan mereka bagus,” kata Pyae Sone Aung, 37, sambil melahirkan harapan agar aktiviti perniagaan di kampung halamannya bertambah baik dalam masa terdekat.

    Pihak berkuasa yang prihatin telah berusaha menjadikan bandar arca kayu Darpein sebagai destinasi pelancongan untuk memelihara dan mempromosikan kraf kayu tradisional negara itu, lapor media tempatan.

    Ohmar Linn berkata bahawa dia berpindah ke Nay Pyi Taw kerana perniagaan di kampung halaman Darpein tidak bagus.

    “Keadaan tidak begitu baik berbanding ketika kami tinggal dan bekerja di kampung halaman kami.

    “Saya akan pulang ke kampung halaman apabila kerja kami di sini selesai,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...