PERASAN atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap dalam fenomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap sebagai sihat oleh mereka. Mutakhir ini kita dapat melihat betapa masyarakat kita sangat ghairah berhutang dalam mendapatkan barang keperluan dan perkara yang mereka hajati.
Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan harta serta barangan yang mereka miliki.
Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama, perlu juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan asas yang kukuh.
Lebih memilukan lagi terdapat sesetengah orang yang beranggapan hutang merupakan mekanisma, kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Kesannya makin ramai individu yang berkemampuan membuat pembelian dan transaksi secara tunai telah memilih untuk berhutang dalam mendapatkan apa yang mereka inginkan seperti membeli rumah, kereta, perabut dan sebagainya. Alasan mereka, jika pembelian dibuat secara tunai maka mereka akan rugi.
Cintakan dunia, tamak, riya’, takabbur, hasad, suka menunjuk-nunjuk dan tidak bersyukur dengan apa yang ada antara faktor penyumbang kepada tabiat suka berhutang yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan akhirat.
Bagi mengatasi sikap suka berhutang, faktor-faktor yang menjurus kepadanya hendaklah diatasi dan diperangi dengan gigih dan tabah.
Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Setelah direnungkan dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui beberapa pintu iaitu:
1.Tamak dan buruk sangka.
Maka hadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
2.Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan
Hadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
3.Cintakan kerehatan dan kemewahan
Hadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
4.Kagum terhadap diri sendiri (‘ujub)
Hadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
5.Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka
Hadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
6.Hasad (dengki)
Hadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan redha terhadap kuniaan Allah SWT kepada makhluk-Nya.