Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Beri bimbingan secara santai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Pelajar Sarjana Muda Usuluddin dengan kerjasama Badan Pelajar Usuluddin (BadrU) sesi 2022/2023, melalui Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah mengadakan Program Little Caliph 4.0 bersama Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), di Surau Al-Syafii.

    Menurut UNISSA, program bertujuan sebagai salah satu platform untuk memberikan bimbingan fardu ain kepada kanak-kanak YASKA secara santai menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti berbentuk teori dan praktikal.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendedahkan para mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Usuluddin kepada dakwah Islamiah secara praktik, dengan menggunakan konsep khidmat ilmiah.

    Ini sekali gus dapat memberikan latihan kepada mereka untuk mengenal pasti teknik-teknik dakwah yang sesuai digunakan, apabila berhadapan dengan masyarakat dari pelbagai peringkat umur dan juga latar belakang.

    Kenyataan menyatakan, antara aktiviti utama yang terkandung dalam program itu ialah sesi penyampaian tazkirah pendek, sesi pemantapan fardu ain, dan sesi Explorace.

    Kesemua aktiviti berkenaan bertumpu untuk membimbing kanak-kanak tentang tatacara wuduk dan solat, memupuk adab dan akhlak yang dapat mereka amalkan dalam kehidupan seharian, serta membina jati diri mereka menjadi seorang Muslim yang sejati.

    Pada penghujung program yang dilaksanakan pada 12 Mac lalu, Pemangku Pengerusi Program Little Caliph 4.0, Dayang Nur Shafiyah Huda binti Tajudeen telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada para hadirin, diikuti dengan penyerahan cenderahati kepada pihak YASKA dan penyampaian hadiah kepada kanak-kanak yang hadir.

    Sesi aktiviti Explorace.
    Sesi bergambar ramai antara pelajar Sarjana Muda Usuluddin dan pihak YASKA.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...