WARNANYA hitam, rasanya segar dan lazat. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai beri hitam.
Beri hitam atau blackberry adalah buah berganda yang terdiri daripada buah-buahan kecil yang banyak dikenali sebagai drup atau pepauh.
Bentuk buah beri hitam adalah seperti anggur namun buahnya lebih kecil dan berkelompok.
Pada dasarnya, ramai yang keliru untuk mengenal di antara buah beri hitam dengan raspberi hitam malah kedua-duanya memiliki rasa yang berbeza.
Buah beri hitam memiliki bahagian tengah yang pejal manakala buah raspberi pula berlubang di bahaian tengahnya.

Beri hitam adalah tumbuhan semula jadi yang berasal dari Eropah yang boleh ditemui di Eropah Barat, Kepulauan Inggeris, Pantai Pasifik dan bahagian timur Amerika Utara.
Pokok saka ini memiliki batang berduri dan boleh mencapai ketinggian sehingga lima meter serta memiliki daun hijau yang berbulu.
Daunnya tumbuh dalam kelompok tiga hingga lima helai daun dan bunganya pula berwarna putih serta merah jambu.
Buah daripada genus Rubus fruticosus (Eropah) dan Rubus villosus (Amerika) ini berwarna ungu pekat dengan kulit yang halus dan mudah pecah.
Ia boleh dimakan dan memiliki pelbagai khasiat perubatan.
Di samping itu, ia juga amat popular untuk dijadikan sebagai pai, jeli jem malah wain.
Menentang kanser
Beri hitam merupakan makanan yang hebat kerana dengan memakannya boleh memberikan banyak manfaat.
Orang Greek zaman dahulu dikatakan bergantung kepada beri hitam untuk merawat penyakit gout dan juga dikatakan bahawa mereka menjadi golongan pertama yang menggunakan herba itu bagi tujuan demikian.
Oleh sebab perubatan Greek sangat berpengaruh di Eropah pada masa itu telah membuatkan beri hitam juga dikenali sebagai nama Goutberry.
Beri hitam kaya dengan bioflavonoid dan vitamin C. Zat lain yang ada dalam buah beri hitam dikatakan amat rendah dalam kandungan sodium dan memiliki lebih kurang 62 kalori bagi secawan beri hitam.
Di samping itu, beri hitam juga dikatakan dapat memperkuat daya tahan tubuh kerana ia kaya dengan vitamin, membantu usus berfungsi dengan baik kerana ia kaya dengan serat, membantu penyembuhan luka, melindungi mata dan jantung, meningkatkan pertumbuhan sel tubuh bahkan juga mampu untuk melawan penyakit kanser.
Kajian telah menunjukkan bahawa beri hitam memiliki kandungan antioksidan yang paling tinggi.


Dalam kajian yang telah diterbitkan oleh The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2006, saintis menunjukkan bahawa kandungan antioksidan dalam beri hitam adalah sebanyak 5.75 milomiles untuk satu hidangan.
Ini bermakna pengambilan beri hitam secara kerap mampu untuk memberi kesan positif pada kesihatan tubuh malah ia juga dikatakan memiliki kebaikan terhadap kesihatan terutama dalam menentang kanser seperti kanser kolon atau usus besar.
Mengatur haid
Antisianin atau flavonoid kilat memberikan beri hitam warna gelap dan bersinar.
Zat fito berkuasa hebat itu dikatakan mampu memberi perlindungan kepada otak daripada tekanan oksidatif dan juga boleh mengurangkan kesan yang berkaitan dengan masalah usia seperti penyakit Alzheimer dan demensia atau nyanyuk.
Pengambilan beri hitam juga dikatakan mampu untuk membantu merangsang kekuatan tisu yang sihat.
Ini adalah prosedur bukan pembedahan penting yang boleh menjadikan kulit kelihatan lebih muda.
Pengambilan yang berterusan juga dikatakan mampu untuk memastikan otak berada dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga sekali gus mengekalkan memori yang baik.
Vitamin K yang terdapat di dalam beri hitam dikatakan mampu untuk mengendurkan otot yang menjadikan sesetengah wanita memilih untuk menggunakan beri hitam bagi melegakan sakit ketika bersalin.
Apabila ia digunakan sebagai sebahagian daripada pemakanan seharian, jus beri hitam dikatakan boleh digunakan untuk mengatur haid dan ia juga amat berkesan dalam membantu darah untuk membeku.
Kandungan tannin yang tinggi dalam beri hitam menyediakan sejumlah kebaikan untuk mengurangkan keradangan usus, mengurangkan buasir dan melegakan kesan cirit-birit.
Adalah penting untuk memasukkan beri hitam ke dalam pemakanan seharian dan gunakan ia dalam apa jua cara tidak mengira sebagai snek ringan atau dimasukkan ke dalam bijirin atau diproses menjadi smoothies.