LABUAN, 12 Mac – Anggota UMNO dan jentera kerajaan berkaitan di sini, digesa menyemaikan ‘perasaan selesa’ atau memberi kesan positif terhadap rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli, yang juga anggota Parlimen Labuan, berkata mereka perlu mengukuhkan semangat kebersamaan dengan rakyat di pulau bebas cukai itu, di sini.
“Kita mahu semua anggota dan jentera kerajaan yang diberi tanggungjawab di sini agar bersedia dan kekal bersatu dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada mesyuarat serentak tahunan cawangan empat sayap UMNO Bahagian Labuan di sini hari ini.
Beliau berkata mereka perlu menggunakan sepenuhnya pelbagai platform untuk menangkis dakwaan tidak berasas oleh pembangkang terhadap kerajaan.

“Kita tidak boleh menyalahkan rakyat yang terbawa-bawa dengan persepsi negatif akibat daripada dakwaan tidak berasas dalam media sosial…kita mesti memainkan peranan untuk memberitahu rakyat tentang kebenaran melalui pelbagai platform.
“Dalam kita menghadapi pilihan raya umum akan datang, kita mesti menanamkan ‘perasaan selesa’ untuk berkhidmat kepada rakyat supaya mereka juga mempunyai perasaan yang sama terhadap kita,” katanya.
Beliau berkata UMNO Labuan, yang mempunyai 9,104 anggota berdaftar daripada 30 cawangan, mesti kekal bersatu bagi memastikan Labuan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Mesyuarat agung tahunan UMNO ini adalah platform kepada semua anggota dan pemimpin bagi mengukuhkan hubungan dengan semangat kebersamaan supaya UMNO terus menjadi parti yang kuat,” katanya. – Bernama