Oleh Amri HTZ
Memiliki haiwan peliharaan memerlukan kita menyediakan makanan bersesuaian dan tempat tinggal yang selesa untuk mereka. Ini penting bagi mengelakkan tekanan kepada haiwan peliharaan yang dimiliki. Salah satu perkara yang penting perlu diambil perhatian ialah tempat meletakkan makanan mereka. ‘Keselesaan’ ketika mereka menikmati makanan atau minuman dapat ditingkatkan dengan cara mereka tempat khusus untuk meletakkan bekas atau mangkuk makanan yang diperbuat daripada kayu terpakai.
Sedia barangan
Bagi mereka tempat meletakkan mangkuk makanan khusus ini, barangan yang diperlukan ialah pita pengukur, mesin pemotong kayu, mesin ketam kayu, pengepit kayu, gam kayu, alas plastik untuk meja, pahat kayu dan wood wax atau varnis.
Langkah yang perlu dilakukan
Pada projek ini, kayu terpakai akan digunakan bagi memanfaatkannya selain bagi mengurangkan kos pembuatan. Bagi memberikan keunikan kepada rekaan, kayu berwarna gelap dan cerah akan digunakan di mana apabila dicantumkan nanti, ia akan menghasilkan permukaan kayu yang beraneka warna.
Langkah pertama adalah meratakan kesemua kayu yang digunakan menjadi satu ukuran menggunakan mesin pemotong kayu. Ukuran kayu yang diperlukan sebelum ia dicantumkan menjadi satu bahagian ialah ½” x 1”. Namun ukuran kayu yang didapatkan ini adalah tertakluk kepada ukuran kayu terpakai di mana jika awda memilih untuk menggunakan ukuran yang lebih tebal, ia juga akan menjimatkan penggunaan gam kayu nanti.
Untuk panjang setiap kayu, ia belum dapat ditentukan disebabkan kesemua kayu-kayu tersebut akan dicantumkan dengan kedudukan tercampur yang kemudiannya barulah proses pemotongan dilakukan. Ukuran kasar panjang yang diperlukan ialah 2.5 kaki. Jadi kayu yang panjang lebih daripada ukuran kasar tersebut bolehlah dipotongkan menjadi lebih pendek.
Kesemua kayu yang telah dipotongkan dengan ukuran dinyatakan pada langkah seterusnya akan dicantumkan yang memerlukan awda untuk menyediakan meja khusus beralaskan plastik di mana proses percantuman akan menghasilkan lelehan gam.
Permukaan depan dan belakang kayu berukuran 1” akan disapukan menggunakan gam kayu secara keseluruhannya. Terlalu sedikit dalam menyapukan gam pada permukaan kayu menjadikannya berisiko untuk terpisah ketika digunakan, jadi awda perlu ‘bermurah hati’ dalam penggunaan gam.
Bagi kayu yang tidak sama panjang, ia hanya akan disambungkan dengan cara menyusun atau meletakkan bahagian hujungnya dengan kayu lain bagi mendapatkan kepanjangan yang diperlukan. Bagi memastikan bahagian hujung setiap kayu yang akan dicantumkan di antara satu dengan lain tidak mempunyai rongga kosong, pastikan bahagian hujung kayu yang akan disambungkan mempunyai permukaan yang rata. Gunakan mesin pemotong kayu untuk mendapatkan permukaan yang sempurna.
Bagi lebar kayu yang dicantumkan, ini tertakluk kepada saiz mangkuk makanan yang digunakan. Pada projek ini, lebar kayu lebih kurang 10” akan direka sesuai dengan ukuran mangkuk yang digunakan.
Keseluruhan permukaan kayu yang telah disapukan gam akan dikepit menggunakan pengepit kayu untuk mengekalkan kedudukannya. Tertakluk kepada jenis gam kayu yang digunakan, berikan masa 24 jam bagi gam mengering se-penuhnya sebelum meneruskan langkah membersihkan keseluruhan permukaan daripada lebihan gam yang mengering.
Permukaan kayu dengan lelehan gam yang mengering perlu dibuangkan terlebih dahulu sebelum proses meratakan permukaan kayu menggunakan mesin ketam. Jika ia dilakukan tanpa membuangkannya terlebih dahulu, ini boleh memberikan risiko kepada mata (blade) mesin ketam yang boleh merosakkannya dan turut diketahui, kos untuk menggantikannya dengan yang baharu setentunya agak berharga. Untuk itu, gunakan pahat kayu yang cukup tajam bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.
Setelah dibersihkan, potongkan kayu tersebut dengan panjang 30” (18” permukaan atas dan 6” untuk setiap kaki struktur pemegang makanan) menggunakan mesin pemotong kayu. Kayu yang telah dipotongkan tersebut kemudiannya akan dipotongkan menjadi tiga bahagian di mana dua daripada merupakan kaki kepada kayu pemegang mangkuk makanan tersebut.
Apabila kayu tersebut telah dipotongkan menjadi tiga bahagian, kesemua bahagian hujung kayu akan dipotongkan dengan sudut 30 darjah. Langkah pemotongan ini perlu diambil perhatian di mana setiap bahagian hujung kayu (untuk setiap satu bahagian) akan dipotongkan dengan sudut yang berlawanan (gambar).
Langkah seterusnya ialah menebuk bahagian tengah permukaan kayu menggunakan mata gerudi berdiameter 6”. Sebelum itu tandakan bahagian tengah permukaan atas kayu menggunakan pensel dan dari situ (telah permukaan terbahagi kepada dua bahagian) akan membolehkan awda mendapatkan lagi bahagian tengah kedua-dua bahagian yang telah ditandakan garisan tadi. Lakukan proses penebukan dengan perlahan agar tidak merosakkan mata gerudi mahupun permukaan kayu.
Dengan langkah penebukan telah dilakukan, langkah seterusnya adalah mencantumkan bahagian kaki kedua-dua sudut hujung kayu. Menggunakan teknik memasukkan pasak atau skru untuk mencantumkannya, terlebih dahulu permukaan cantuman perlu disapukan dengan gam kayu agar cantuman lebih kukuh.
Langkah terakhir ialah melindungi permukaan kayu daripada kelembapan terutamanya daripada air melalui mangkuk minuman kucing awda. Menggunakan wood wax atau varnis, sapukan keseluruhan permukaan dengan dua hingga tiga lapisan agar ia cukup tebal untuk menghalang kelembapan daripada menyerap ke dalam kayu. Akhirnya, setelah varnis mengering tiba masanya untuk memberi makan kepada ‘sibulus’ kesayangan dengan tempat makanan yang lebih selesa.