Beri keutamaan mereka yang mahu hadirkan diri

Semenjak negara kita memasuki fasa peralihan COVID-19 dan pembukaan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara, ramai yang berbesar hati dan bersyukur dapat menjejakkan semula kaki ke masjid untuk memeriahkan semula rumah Allah.

Sehinggakan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri ke masjid-masjid untuk menunaikan solat fardu berjemaah dan sembahyang fardu Jumaat. Namun, dalam kegembiraan dapat menunaikan kewajipan di masjid-masjid terutama bagi menunaikan solat Fardu Jumaat, ada yang masih tidak berpeluang untuk menghadirkan diri. Ini kerana masih ada yang tidak berjaya mendapatkan slot tempahan berikutan slot yang terhad dan masing-masing berlumba untuk mendapatkannya.

Tetapi agak menyedihkan bagi yang menempah slot ini ada yang tidak menghadirkan diri ke masjid dan menghampakan orang yang lebih berharap dapat menghadirkan diri. Kenapa begitu? Jikalau sudah tahu tidak menghadirkan diri tidak perlu membuat tempahan slot atau batalkan saja, ada yang mahu. Ini belum sampai 30 minit atau mungkin kurang dari itu tempahan slot untuk menunaikan solat fardu Jumaat sudah penuh. Kalau yang adapun berjauhan dari rumah.

Memang tidak dinafikan, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah terhad demi membendung penularan wabak, namun pada pandangan saya, pihak relevan perlu memikirkan tentang penambahan kuantiti jemaah yang dapat menghadirkan diri ke masjid-masjid ini dengan pihak masjid menambah kawasan sementara seperti mendirikan kem tempat para jemaah menunaikan solat dengan mengamalkan langkah-langkah pengawalan.

Sejujurnya saya sendiri yang berharap dapat menghadirkan diri ke masjid sudah empat minggu belum mendapat slot tempahan. Saya terlambat menempah? Sejujurnya tidak terlambat untuk membuat tempahan namun berlaku beberapa hal terhadap permohonan saya. Pada satu Jumaat, saya telah lebih awal memasuki aplikasi BruHealth namun tempat untuk membuat tempahan belum ada dibukakan sedangkan ketika itu sudah jam 2:30 petang, lalu saya mencuba lagi untuk membuka aplikasi BruHealth dan ada sudah tempat menempah slot tetapi agak menyedihkan kerana masjid-masjid berhampiran semua telah penuh tempahan.

Kedua kalinya, saya sudah berjaya menempah slot namun sesudah saya memeriksa tempahan dan mengejutkan saya tempahan saya langsung tidak direkodkan. Saya anggap semua ini belum rezeki saya menjejakkan kaki ke masjid dan menganggap saya belum ditakdirkan terpilih menjadi tetamu Allah. Alangkah baiknya juga, jika penempahan slot ini dibuka pada petang hari Khamis atau pagi Jumaat jadi tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak menghadirkan diri jika mereka mengalami sakit atau sebaliknya.

Saya harap pihak relevan untuk memikirkan permasalahan saya atau mungkin ada juga yang mengalami perkara yang sama untuk menambah kuantiti jemaah atau inisiatif lain untuk dapat ramai menghadirkan diri ke masjid.

Pasrah

Dalam kegembiraan dapat menunaikan kewajipan di masjid-masjid terutama bagi menunaikan solat fardu Jumaat, ada yang masih tidak berpeluang untuk menghadirkan diri.