Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    ‘Beri maklumat lengkap semasa buat panggilan kecemasan’

    KOTA KINABALU, 6 MEI – Orang awam diminta memberikan maklumat lengkap semasa membuat panggilan kecemasan agar pihak ‘responder’ di hospital di Sabah dapat bertindak dengan kadar yang munasabah, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin.

    Beliau berkata pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan dan penyampaian rawatan berada pada tahap terbaik terutamanya usaha untuk menyelamatkan nyawa. 

    Dr Rose Nani berkata dalam isu kelewatan ambulans yang dibangkitkan sebuah akhbar tempatan pada 5 Mei lepas, jabatan ini telah membuat siasatan dengan meneliti data masa sebenar di pangkalan data Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS 999). 

    “Hasil penelitian data berkenaan mendapati bahawa MERS 999 telah menerima panggilan telefon pada masa 12:06 tengah hari daripada seorang pemanggil, namun talian terputus semasa proses penyambungan daripada MERS 999 Regional Center (Regional Center) ke Medical Emergency Call Center Hospital Queen Elizabeth (MECC) untuk proses verifikasi kes dan mendapat maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dr Rose Nani berkata sebanyak enam cubaan panggilan semula kepada pemanggil dibuat oleh Regional Center dan MECC dari 12:07 tengah hari hingga 12:19 tengah hari tetapi pemanggil tidak dapat dihubungi semula menyebabkan ambulans tidak dapat diaktifkan disebabkan maklumat lokasi yang tidak jelas. 

    “Pada 1:01 tengah hari, MERS 999 menerima panggilan kedua daripada pemanggil lain dengan maklumat lengkap telah diperoleh. Pasukan responder dari Hospital Queen Elizabeth 2 telah diaktifkan pada 1:04 tengah hari dan telah tiba di tempat kejadian pada 1:16 tengah hari. 

    “Semasa tiba di tempat kejadian, pasukan responder mendapati pesakit berusia 54 tahun tidak mempunyai tanda-tanda hidup dan pengesahan kematian telah dibuat oleh pegawai perubatan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...