Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Hari Kanak-kanak Sedunia merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh ramai kanak-kanak, termasuk mereka yang menghadapi kesukaran dalam pelajaran, mereka yang berkelainan upaya, hidup dalam kemiskinan, terjerat dalam isu-isu sosial dan masalah keluarga.
“Oleh itu, semua agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), swasta, ibu bapa, guru dan masyarakat akar umbi memainkan peranan yang penting dalam melindungi dan merealisasikan hak yang sama bagi semua kanak-kanak dalam pendidikan, keselamatan dan kesihatan, serta memastikan tidak ada kanak-kanak yang tercicir,” tekan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam perutusannya sempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2023, hari ini.
Terdahulu, beliau menjelaskan, Hari Kanak-kanak Sedunia diraikan pada setiap 20 November untuk memperingati United Nations Convention on the Rights of the Child, di mana setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi yang harus dihormati dan dipelihara.
Tahun ini merupakan kali ke-17 Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meraikan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia dengan tema Penyertaan, untuk Setiap Kanak-kanak.
Yang Berhormat Dato turut menjelaskan, tema berkenaan memfokuskan ke arah penglibatan kanak-kanak agar mereka berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Tema ini juga menekankan keperluan untuk memastikan setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kelainan upaya, tanpa mengira latar belakang, kebolehan atau keadaan adalah diiktiraf, dihargai, dan diberikan peluang yang sama untuk berkembang maju,” jelasnya.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa acara utama sambutan di Brunei pada tahun ini ialah Forum Voices of Children yang akan diadakan pada 25 November di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mengenai hak asasi mereka dan penyertaan mereka demi menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif dan saksama.
Acara berkenaan akan dilaksanakan berkonsepkan seperti sesi permesyuaratan MMN khusus bagi pelajar-pelajar sekolah termasuk kanak-kanak kelainan upaya, dan akan membincangkan dan membahaskan mengenai empat isu iaitu kesihatan, pendidikan, sosial dan persekitaran.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyambut baik usaha-usaha dalam melindungi dan meningkatkan keselamatan kanak-kanak, khusus bagi menangani isu buli, seperti Program Bersama Hentikan Buli dan Program Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab (BEST) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Tidak lupa juga bagi kanak-kanak yang berkeperluan khas di mana kita mesti terus membantu untuk menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri mereka,” ujarnya.
Yang Berhormat Dato menekankan bahawa sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia tahun ini adalah seruan untuk bertindak bagi semua pihak sama ada penggubal dasar, penguat kuasa, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat untuk berusaha ke arah dunia yang lebih inklusif di mana hak setiap kanak-kanak diutamakan, dan mereka diberikan peluang untuk mencapai potensi penuh.
Oleh itu, beliau terus menyeru semua pihak memastikan golongan kanak-kanak hari ini, sempena Hari Kanak- Kanak Sedunia ini, dapat merayakan kepelbagaian budaya dan sosial kanak-kanak di seluruh negara serta menggalakkan mereka untuk berimpian tinggi dan mencapai potensi penuh mereka.
Dalam masa yang sama, Yang Berhormat Dato turut mengenang keadaan rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa serangan rejim Israel, terutamanya kanak-kanak yang telah kehilangan hak-hak untuk hidup dengan aman damai, dilindungi bersama keluarga tercinta, dan mendapat akses kesejahteraan hidup seperti bermain, mendapatkan akses pendidikan dan kesihatan yang sepatutnya.
Sehubungan itu, Doa Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 pada tahun ini akan disertai dengan Doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin.