Beri peluang pelabur swasta

KULAI, 18 April – Kerangka Perjanjian Operasi baharu (OA) dengan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang bakal dimuktamadkan pada Jun ini, membolehkan pihak swasta bekerjasama dengan MAHB dalam membangunkan infrastruktur dan fasiliti lapangan terbang di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dengan adanya kerangka baharu ini, pihak swasta boleh melabur dan bekerjasama dengan MAHB sekali gus membolehkan kerajaan mengurangkan beban kewangan.

“Model pembangunan lapangan terbang dahulu memerlukan peruntukan kerajaan. Apa yang kita nak galakkan sekarang ialah supaya pihak swasta memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan infrastruktur negara.

“Kita mahu MAHB mencari rakan strategik atau kerjasama untuk melabur dalam infrastuktur seperti pembesaran terminal, pemanjangan landasan.  Kita harap ada perbelanjaan modal daripada swasta,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Stesen FedEx Johor, di sini hari ini.

Justeru itu, dengan mengkaji semula kerangka OA berkenaan, ia akan memberikan fleksibiliti kepada pelabur membuat pelaburan dalam pengembangan lapangan terbang sekali gus dapat menyaksikan infrastruktur di 39 lapangan terbang yang dikendalikan MAHB, berkembang pesat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama Naib Presiden Operasi Asia Tenggara FedEx Express dan Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia melancarkan Stesen Baru FedEx Johor, kelmarin. – Bernama

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan persetujuan bagi meluluskan permohonan MAHB untuk melanjutkan tempoh perjanjian operasi bagi mengoperasi, mengurus dan menyelenggara 39 buah lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Februari 2069.

Kerangka OA yang baharu akan dapat memberikan fleksibiliti kepada kerajaan dan MAHB dalam penyediaan peruntukan projek pembangunan lapangan terbang melalui beberapa model pembiayaan, ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu menarik pelabur dari swasta.

Terdahulu, Loke turut meluangkan masa kira-kira sejam meninjau operasi di Lapangan Antarabangsa Senai, di sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Kerajaan Selangor untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, Loke berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu. Sebelum ini penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana Teng Chang Kim, untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

Berkenaan dengan perancangan untuk membina hab pemindahan kapal ke kapal (STS) yang terbesar di dunia, dalam perairan negara ini, Loke berkata perincian mengenai projek berkenaan hanya akan diketahui selepas selesai kajian kebolehupayaan

Menurut beliau, kajian kebolehupayaan projek berkenaan dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

“Pemaju projek tersebut, KA Petra Sdn Bhd telah diberikan kebenaran secara prinsipal untuk menjalankan kajian tersebut.

“Lokasi pembinaan STS itu adalah di lokasi sedia ada cuma kita merancang untuk mengembangkan operasinya dan menjadikannya sebagai sebuah hab,” katanya ketika ditanya mengenai perincian projek berkenaan. – Bernama