Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 13 Ogos – Lebih 30 pengusaha kecil dan sederhana telah menyertai Jualan ‘Car Boot’ yang diadakan di kawasan letak kereta di Jalan Sungai Rambai, di sini, hari ini yang dikendalikan oleh Pembedayan Event and Management dengan disokong oleh Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN).
Pengurus/Pemasaran Jualan ‘Car Boot’, Pembedayan Event and Management, Dayang Nur Amalina binti Ahmadi @Themianels memberitahu Media Permata, jualan itu membukakan peluang kepada peniaga kecil-kecilan untuk mengetengahkan barangan jualan seperti jualan garaj iaitu menjual barangan terpakai, barangan baru dan sebagainya, tetapi berkonsepkan Jualan ‘Car Boot’.
Ia merupakan yang kali pertama dianjurkan mereka dan dijangka akan diteruskan selepas ini dengan hasrat untuk menyediakan pelantar kepada peniaga-peniaga tempatan untuk memasarkan barangan jualan dan juga bagi membantu mengukuhkan ekonomi masing-masing.
Di samping itu, kata Dayang Nur Amalina lagi, ia juga adalah untuk menggalakkan usaha peniaga kecil-kecilan untuk mencari rezeki dan melalui jualan itu juga, ia berkonsepkan kitar semula dengan cara menjual barang-barang terpakai yang boleh digunakan semula dan ia mungkin bermanfaat kepada orang lain.
Sementara itu beberapa orang peniaga yang sempat ditemui menjelaskan, mereka amat gembira dengan adanya inisiatif yang membukakan peluang mereka mengadakan perniagaan untuk mendapatkan sumber pendapatan sampingan.
Mereka juga memberitahu, barangan jualan mereka, yang berkonsepkan kitar semula, dijual dengan harga yang murah tetapi barangan yang berkualiti dan masih baik untuk digunakan seperti pakaian kanak-kanak dan orang dewasa, mainan dan sebagainya.
Mereka juga berharap, lebih ramai kalangan penganjur yang boleh menyediakan pelantar-pelantar jualan seperti itu, untuk membantu mengukuhkan ekonomi para peniaga kecil-kecilan, yang hanya mampu menyewa petak-petak pada harga sederhana dan berharap orang ramai sentiasa memberikan sokongan untuk berkunjung dan seterusnya membeli-belah di jualan-jualan tempatan yang diadakan.
Aktiviti jualan itu telah diadakan dari jam 7 pagi hingga 5 petang.