Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri memberi peluang kepada orang ramai berwakaf buku-buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan dengan menawarkan pakej-pakej terbaru.
Kini, sembilan pakej wakaf telah disediakan bagi memudahkan umat Islam beramal jariah melalui wakaf ilmu. Pembelian secara wakaf ini akan menawarkan harga lebih murah berbanding sebelumnya mengikut pakej-pakej yang dipilih.
Antara buku yang dijual itu termasuk ‘100 Keistimewaan Malam & Hari Jumaat’, ‘Rawatan dan Kesihatan’, ‘Jambatan ke Akhirat’, ‘Kerasukan: Merawat dan Mencegahnya’, ‘Ibadat Korban, Hukum dan Cara Pengendaliannya’, ‘Isu-isu Produk Halal’, ‘Bersama Mufti, ‘Islam dan Muzik’, ‘Bahtera Perkahwinan’, ‘Pemedulian Pelanggan: Menurut Perspektif Islam’ dan ‘Orang Sembahyang Ditangisi oleh Tempat Sujudnya’.

Sejak pakej wakaf ini dilaksanakan, banyak perpustakaan awam, masjid dan institusi pendidikan di dalam dan luar negeri seperti United Kingdom, Korea Selatan, Malaysia, Singapura dan Indonesia mendapat manfaat dengan memiliki buku-buku Jabatan Mufti Kerajaan.
Wakaf ilmu ini bertujuan untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada umat Islam yang ingin beramal jariah, terutamanya bagi yang mempunyai keupayaan dan kecenderungan, selain itu memastikan agar perpustakaan awam, masjid dan institusi pendidikan terutamanya di negara ini memiliki setiap buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.
Jika berminat, orang ramai boleh mengambil borang akuan berwakaf di Jabatan Mufti, Darul Ifta Simpang 26, Jalan Pengiran Babu Raja, Bandar Seri Begawan dan pembayaran juga boleh dibuat melalui akaun BIBD 01-001-01-001795-6.