Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri peluang wanita bersuara

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Kaum wanita kini berdepan dengan cabaran dalam mengimbangi di antara kerjaya yang semakin mencabar dan pada yang sama menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu dan juga isteri.

    Memang sewajarnya kaum wanita perlu diperkasa agar mereka bersedia menghadapi cabaran ini dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai bidang dan kemahiran sesuai dengan peredaran masa.

    Dengan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengadakan Majlis Forum dan Ekspo Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017 dengan tema ‘Apabila Wanita Berbicara’ untuk memberikan ruang dan peluang kepada kaum wanita menyuarakan pandangan dan pendapat serta berkongsi pengalaman dalam menghadapi cabaran-cabaran.

    Program Kesedaran Wanita yang berlangsung selama dua hari di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.

    Majlis forum dan ekspo berkenaan relah dirasmikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

     Tetamu kehormat merasmikan Majlis Forum dan Ekspo Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017.
    Tetamu kehormat merasmikan Majlis Forum dan Ekspo Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017.
    Sesi forum dengan tema ‘Apabila Wanita Berbicara.’
    Sesi forum dengan tema ‘Apabila Wanita Berbicara.’

    Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Siti Rostinah binti POKSSP Dato Paduka Haji Mohd Tahir semasa menyampaikan ucapan berkata, tidak diragui bahawa kaum wanita juga merupakan salah satu aset penting dalam pembangunan negara kerana mereka bukan hanya dilihat sebagai penyambung kepada generasi bangsa tetapi juga sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keluarga sekali gus negara.

    “Peranan kaum wanita tidak hanya terhad kepada melahirkan anak, menjaga dan membesarkan anak-anak tetapi kaum wanita juga sama-sama membanting tulang dengan kaum lelaki dalam memperkasa keluarganya,” jelas

    Menurut perangkaan dari Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE) pada 2015 terdapat 58.3 peratus wanita yang bekerja dan statistik ini menunjukkan bahawa semakin ramai kaum wanita yang terlibat dalam kerjaya.

    Justeru itu, forum berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada kaum wanita menyuarakan pandangan dan mengongsikan cerita-cerita yang memberi inspirasi sebagai penyuntik semangat kepada kaum wanita yang lain dalam mempertimbangkan diri dan mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.

    Program yang dihadiri oleh perwakilan wanita daripada kementerian dan jabatan-jabatan yang berkepentingan, sektor swasta dan wakil dari persatuan-persatuan itu juga menjemput penceramah dan fasilitator daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

    Para penceramah dan fasilitator terdiri daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Penolong Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), Pengiran Dr. Norhazlin binti Pengiran Haji Muhammad dan Hajah Mordiah binti Haji Jackia.

    Pemudah cara forum pula ialah oleh Yang Di-Pertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin.

    Antara isu-isu yang dibincangkan termasuklah cabaran wanita berkerjaya yang bekerja di sektor formal dan yang berniaga, cabaran sebagai ibu, isteri yang berkerjaya dan isu keselamatan serta kesejahteraan wanita di tempat kerja.

    Di samping itu, pihak penganjur juga mengadakan ekspo jualan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang berlangsung selama dua hari hingga esok bermula pukul 10 pagi hingga 9:30 malam bagi menyokong dan menggalakkan para peniaga wanita untuk memperlihatkan hasil jualan dan produk mereka.

    Selain itu, beberapa aktiviti juga telah diaturkan untuk memeriahkan acara iaitu Daddy Day Care di mana para suami akan membawa anak-anak ke sebuah bilik yang berasingan dengan disediakan beberapa aktiviti menarik seperti melukis muka, The Daddy Diaper Dash, pertunjukan maskot dan banyak lagi.

    Acara berkenaan juga menyaksikan persembahan Inspirational Poem oleh Spoken Word Brunei yang merupakan deklamasi puisi terbuka mengenai kecekalan wanita yang bekerja di era yang penuh cabaran ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda