Beri pendidikan berkualiti golongan cacat penglihatan

KAHERAH – Di sebuah teater terbuka di Panggung Opera Kaherah di Mesir, dengan latar belakang pentas pencahayaan yang berwarna-warni, penonton berasa teruja ketika men-dengarkan muzik yang didendangkan oleh hampir 40 pemuzik buta kesemua wanitanya, menjelang Hari Keselamatan Tongkat Putih Sedunia.

Hari Keselamatan Tongkat Putih Sedunia disambut di seluruh dunia pada 15 Oktober setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai sumbangan orang-orang buta dan cacat penglihatan kepada masyarakat.

Sorakan bergema di seluruh Panggung Opera Kaherah setelah setiap karya dimainkan dengan sempurna dan elegan oleh Orkestra Al-Nour Wal Amal.

“Pada masa ini, saya ingin memberitahu semua orang yang mempunyai kecacatan untuk bersikap gigih dan tidak pernah berputus asa,” kata Mariam al-Nagdy, pemain biola berusia 26 tahun yang bergabung dengan orkestra pada 2008, kepada media selepas persembahan itu.

Orkestra itu tergolong dalam Persatuan Al-Nour Wal Amal (Cahaya dan Harapan) yang berpusat di Kaherah, yang institusi muziknya ditubuhkan pada tahun 1961, tujuh tahun selepas penubuhan persatuan itu.

HCF memiliki beberapa bilik darjah kecil dilengkapi mainan dan alat hiburan dan pendidikan, termasuk bilik terapi pertuturan, muzik, jasmani dan sistem Braille. – Xinhua

“Pada tahun 1988, orkestra kami menerima undangan untuk membuat persembahan di Austria. Ini adalah perjalanan yang berjaya sehingga orang Austria menggambarkan gadis-gadis kami sebagai ‘piramid keempat Mesir’,” kata Amal Fikry, wakil ketua persatuan dan ketua institut muziknya.

Orkestra Al-Nour Wal Amal kemudian menjelajah ke sekitar 30 negara lain di seluruh dunia, yang terakhir adalah China pada 2017.

Al-Nour Wal Amal dan semua yayasan serupa di Mesir diluluskan dan diawasi oleh Kementerian Perpaduan Sosial. Salah satu persatuan ini adalah Hope City Foundation (HCF), yang menyediakan perkhidmatan pemulihan kepada kanak-kanak buta pekak serta mereka yang mempunyai pelbagai kecacatan, termasuk mereka yang mempunyai gangguan spektrum autisme dan gangguan penglihatan.

Terletak di tingkat bawah sebuah bangunan di Kaherah, HCF memiliki beberapa bilik darjah kecil dengan dinding berwarna menarik, mainan dan alat hiburan dan pendidikan, termasuk bilik untuk terapi pertuturan, terapi muzik, pendidikan jasmani dan sistem Braille untuk membaca dan menulis secara sentuhan.

Diluluskan secara rasmi pada tahun 2014, yayasan ini juga memiliki ruang untuk intervensi awal untuk anak damit dengan pelbagai kecacatan untuk meningkatkan kemahiran visual, pendengaran dan menyentuh mereka, dan ruang vokasional dengan alat tenun besar dan sejumlah permaidani kecil dan dewangga.

Di hujung koridor utama HCF, seorang budak lelaki berusia 10 tahun Mahmoud Khaled menyanyikan lagu tradisional Mesir di bilik muzik sementara ahli terapi muziknya memainkan nota-nota yang disertakan di keyboard.

Khaled menyertai HCF enam tahun lalu dan beransur-ansur bertambah baik sehingga dia menyertai sekolah awam bagi anak-anak normal.

Ibunya, Abla Sayyid, yang menunggunya, mengatakan bahawa anaknya itu cacat penglihatan sejak usia 14 hari dan setelah Khaled berumur satu tahun, mereka menyedari dia tidak dapat bertutur dan hiperaktif.

“Pada kesempatan ini, saya ingin memberitahu keluarga lain bagi anak-anak cacat penglihatan agar tidak berputus asa. Lihatlah bagaimana anak saya dan bagaimana keadaannya sekarang. Saya sangat bangga dengannya,” kata Sayyid kepada media.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan pendidikan dan pemulihan yang berkualiti tinggi kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran bersama atau tanpa kecacatan tambahan,” kata Ketua HCF Amal Ezzat, yang belajar di Norway dan mengambil biasiswa di Amerika Syarikat. – Xinhua