Beri sebab kukuh masalah air kekuningan

Masalah air kekuningan ini tidak pernah berlaku sebelumnya dan mula ketara beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan air pada masa kini sudah dapat dikatakan dalam kategori parah.

Dalam masa sehari, berapa kali dan banyak air yang harus dibuang untuk ‘Flushing dan Backwashing’ seperti yang dinasihatkan oleh pihak relevan. Bagaimana dengan pula mereka yang tidak mempunyai sistem penapis air?

Beberapa sebab tidak munasabah diberikan seperti masalah air keku-ningan disebabkan musim hujan berterusan dan air sungai menjadi keruh. Persoalannya bukankah kita selama ini menerima bekalan air dari sungai dan loji rawatan yang sama sejak dahulu lagi sama ada pada musim hujan atau kemarau. Kenapa dulu kita tidak menghadapi masalah air kekuningan seperti ini?

Alasan lain yang diberikan sebelum ini adalah kononnya tangki air simpanan besar bagi setiap kawasan atau mukim itu telah tebal dengan tanah dan sedang dalam proses pembersihan. Persoalannya, dari mana datangnya tanah tersebut dan berapa lamakah proses pembersihan ini dijalankan bagi setiap tangki.

Alasan terkini proses ‘Water Purification’ sedang dilaksanakan oleh pihak relevan. Jawapan tersebut seolah-olah perkara tersebut baru saja hendak dilaksanakan sedangkan ini adalah proses yang selazimnya patut dilakukan di loji rawatan air. Tolong berikan jawapan-jawapan yang jitu dan kukuh yang boleh diterima akal.

Seperti lazimnya yang kita ketahui, selama ini air yang dibekalkan ke seluruh negara kita datang dari sungai yang sama tidak mengira musim apa jua sekali pun. Air dari sungai tersebut akan melalui beberapa proses penapisan yang dicampur dengan kimia tertentu sehingga air tersebut menjadi jernih dan kemudian disalurkan ke kawasan dan daerah tertentu. Ini bererti air yang keluar dari loji rawatan adalah dalam keadaan bersih dan mencapai tahap yang diluluskan mengikut standard piawaian WHO. Persoalannya, adakah proses penapisan yang dilaksanakan di loji tersebut telah dicapai mengikut standard WHO itu dan jika benar apakah alasan kukuh yang menyebabkan air yang diterima oleh pengguna pada masa ini masih menjadi kekuningan.

Kita dimaklumkan bahawa kerja-kerja operasi proses penapisan di loji rawatan pada masa ini telah diswastakan sejak beberapa tahun dahulu. Kita juga difahamkan kerja-kerja operasi ini akan memantau setiap 2 jam kualiti air mentah dan air proses di dalam loji berkenaan.

Kesimpulannya, berkemungkinan kerja-kerja operasi yang dibuat oleh kontraktor tersebut tidak mencapai tahap yang diperlukan dan tidak ada pemantauan dari pihak relevan terutama pada waktu malam. Di samping itu juga berkemungkinan kimia-kimia yang dibekalkan tidak ada Quality Control oleh pihak relevan untuk memastikan ia mencapai spesifikasi yang diperlukan bagi setiap penghantaran yang dibuat.

Sebagai pengguna, kita berharap pihak relevan benar-benar berusaha untuk mencari penyelesaian permasalahan orang ramai mengenai perkara ini. Bayangkan sendiri jika pengguna yang sudah memiliki penapis air sudah mengeluh apa tah lagi bagi mereka yang langsung tidak ada penapis air ini.

Kelohan Penguna