Beri sokongan padu

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi hari ini berkenan berangkat ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Menjunjung keberangkatan dan mempengerusikan mesyuarat berkenaan adalah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin lhsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dalam sembah alu-aluan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin lhsan menekankan akan kepentingan bagi para ahli Jawatankuasa Tertinggi HBT 2018 untuk sama-sama memberikan sokongan padu dan komitmen dalam pengendalian dan perlaksanaan kejohanan HBT 2018 yang berprestij selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Setakat ini, status persiapan kejohanan berjalan dengan baik dan lancar serta mesyuarat turut membincangkan laporan mengenai perkembangan terkini daripada Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja HBT 2018.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi hari ini berkenan berangkat ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama yang menghadiri Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin lhsan semasa menyampaikan ucapan sembah alu-aluan.

Kejohanan Bola Sepak HBT bagi Belia ASEAN 2018 merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama NFABD dan akan bermula pada 23 April hingga 5 Mei 2018.

Majlis pembukaan rasmi bagi kejohanan nanti akan diadakan pada 23 April 2018 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di mana perlawanan pertama adalah di antara Pasukan Negara Brunei Darussalam dan Pasukan Timor-Leste manakala perlawanan akhir dan majlis pengurniaan hadiah kejohanan tersebut akan diadakan pada 5 Mei bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir dan memberi sokongan bagi sama-sama memeriahkan kejohanan bola sepak itu nanti.