Beri subsidi pengangkutan awam – Jomo

KUALA LUMPUR, 8 OKT – Pakar ekonomi terkemuka Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram hari ini menggesa kerajaan untuk mengutamakan pemberian subsidi pengangkutan awam berbanding subsidi bahan api atau petrol.

Malah, kata beliau, ini penting bagi membantu golongan bawahan yang lebih banyak bergantung kepada kaedah pengangkutan awam tersebut.

“Siapa yang lebih banyak menggunakan bahan api? Sudah pastinya adalah kalangan pemilik kereta. Mereka yang berpendapatan 20 peratus terendah sebaliknya tidak memiliki kereta mahu pun motosikal dan hanya bergantung kepada pengangkutan awam.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneliti untuk memberi subsidi pengangkutan awam yang digunakan oleh 70 peratus rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan panel perbincangan bertajuk Pertumbuhan dan Pembangunan pada Forum Megatrend Khazanah 2019.

Jomo berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan memansuhkan mekanisme subsidi petrol sedia ada dan secara berperingkat mengapungkan semula harga runcit petrol RON95 di Semenanjung Malaysia mulai 1 Januari 2020. – Bernama