Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Beriadah sambil timba ilmu di hujung minggu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Keseimbangan aktiviti harian perlu disemai dalam kehidupan masyarakat khususnya dalam keluarga.

    Mencari masa beriadah di mana-mana sambil menimba pengetahuan dan pengalaman, itulah yang sepatutnya diamalkan terutamanya pada hujung minggu.

    Perkara itu antara yang dikongsikan oleh Dayangku Nur Iman As-syaffa binti Pengiran Haji Mohd Aliuddin yang merupakan salah seorang pengunjung berasal dari Kampung Pengkalan Batu semasa ditemui penulis di program Dudun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di perkarangan Perpustakaan DBP, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    Beliau yang pada ketika itu menemani dua orang adik-beradiknya, menambah dengan adanya acara sebegini, ia sememangnya salah satu usaha untuk mendidik adik-adiknya memberanikan diri untuk terlibat secara positif dengan pelbagai aktiviti dan permainan menarik yang ditawarkan oleh DBP.

    “Inilah salah satu cara terbaik bagi mengisi masa lapang mereka daripada hanya bermain permainan menerusi telefon bimbit semasa berada di rumah, maka dalam hal ini mereka dapat meningkatkan daya komunikasi bersama orang ramai,” jelasnya.

    Dayangku Nur Iman bersama dua orang adik beliau semasa ditemui penulis, baru-baru ini. Menurutnya, program dapat mendidik masyarakat memartabatkan Bahasa Melayu.
    Zizie, Wadi dan Airil ketika menerima hadiah penghargaan kerana berjaya menyelesaikan aktiviti Jigsaw Puzzle animasi Cars di salah sebuah petak pameran di program Dudun DBP tersebut.
    ATAS & BAWAH: Permainan Ular dan Tangga, Kreativiti Mewarna, Bahasa Brunei dan Pantun Teka-teki merupakan antara aktiviti permainan yang diketengahkan semasa Dudun DBP bagi Daerah Brunei dan Muara bertempat di Perpustakaan DBP, Bandar Seri Begawan.

    “Apa yang dapat dilihat melalui acara ini, ia dapat menyebarluaskan di samping memastikan penggunaan Bahasa Melayu digunakan dengan betul demi meningkatkan kemahiran dan memartabatkannya sebagai bahasa ilmu, lebih-lebih ia adalah bahasa rasmi negara,” kata Dayangku Nur Iman.

    Bersempena pengisian acara Sambutan Bulan Bahasa, DBP meneruskan lagi program Dudun DBP bagi Daerah Brunei dan Muara sekali gus memeriahkan Bandarku Ceria, baru-baru ini.

    Program yang berlangsung seawal 8 pagi itu telah menyaksikan pelbagai aktiviti dan permainan menarik yang pastinya mampu menguji minda orang ramai sebagai percambahan ilmu.

    Antaranya ialah teka benda, Junjung Dialek, Cabaran Bola Pingpong, Sahiba, Jigsaw Puzzle, Pantun Teka-Teki, Siut, Pop, Putar, Kenali Perpustakaan DBP, Kahoot!, storytelling, Permainan Ular dan Tangga, Kenali Penerima Anugerah, Melontar Bulatan dan Lakaran Dalam Kegelapan.

    Sebelumnya, Dudun DBP dimulakan di Daerah Tutong pada acara Tutongku Ceria sekitar awal September lalu kemudian diteruskan di Daerah Temburong sebagai pengisian program Ke Temburong Bisai pada 4 Disember 2022.

    Dalam pada itu, Dudun DBP ke daerah-daerah berkenaan juga merupakan salah satu inisiatif pemartabatan Bahasa Melayu. Ia juga bertujuan untuk menanamkan sikap positif masyarakat bagi memelihara dan mendaulatkan Bahasa Melayu di samping menggemakan dan menyemarakkan sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara.

    Turut memeriahkan suasana sepanjang program ialah perkhidmatan pendaftaran keahlian yang memberi peluang kepada orang awam untuk mendaftar sebagai ahli perpustakaan, pameran dan juga jualan buku-buku terbitan DBP.

    Di samping itu, keterujaan wajah tiga orang remaja bersaudara, yang senang disapa dengan panggilan, Zizie, Wadi dan Airil jelas terpancar sewaktu penulis menyaksikan mereka berusaha menyelesaikan aktiviti Jigsaw Puzzle animasi Cars di salah sebuah petak pameran acara tersebut.

    Justeru, Awang Zizie dengan reaksi senyuman lebarnya, menandakan perasaan kegembiraan di wajahnya apabila berjaya menyelesaikan aktiviti tersebut dalam tempoh masa kurang 10 minit.

    “Sementara menanti ahli keluarga yang lain membeli-belah di gerai jualan Bandarku Ceria, kami meluangkan masa bersama untuk mencuba semua aktiviti yang disediakan di sini.

    “Seronok rasanya mengikutinya secara percuma terutamanya dengan tawaran pelbagai hadiah yang menarik dan berguna seperti peralatan sekolah,” ujar mereka dengan riang semasa ditemui penulis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...