Oleh Daniel Lim
BELAIT, 4 JULAI – Dalam usaha membantu memberikan inspirasi kepada pelajar untuk memikirkan ciptaan baharu dan inovatif yang boleh memanfaatkan negara dan dunia, sebuah kumpulan daripada Pertandingan Anugerah Creative, Innovative Product and Technological Advancement (CIPTA) Duli Pengiran Muda Mahkota 2023 telah menganjurkan jerayawara di Pusat Tingkatan Enam Belait (PTE Belait), Kampung Mumong pada hari ini.
Pertandingan CIPTA 2023 yang diadakan mewakili edisi ke-10 pertandingan yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan perkongsian bersama penaja utama, Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG).
Jerayawara itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pertandingan CIPTA 2023 dan memupuk minat dalam kalangan pelajar dan orang awam untuk menyertai pertandingan tersebut.
Lebih 30 pelajar dari Daerah Tutong dan Belait serta wakil daripada industri relevan dan orang awam telah menghadiri jerayawara itu.
Anggota Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2023, Dr Lim Pang Jen dan Ir Dr Nor Asiah Muhamad menyampaikan maklumat penting mengenai pertandingan selain kreativiti dan inovasi berkaitan dengan pertandingan tersebut.
Selain itu, taklimat juga menjelaskan kategori, peraturan, hadiah dan anugerah, tarikh penting, proses pengadilan dan contoh projek yang dihantar dalam pertandingan CIPTA sebelumnya.
Dengan tema ‘Innovations for Sustainable Development Goals’, Pertandingan CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota mempunyai tiga kategori utama iaitu, Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN.
Bagi Kategori Tempatan, ia terdiri daripada tiga kategori yang termasuk Kategori 1: Ciptaan Produk baharu, Proses atau Teknologi; Kategori 2: Pengubahsuaian Produk Sedia Ada, Proses atau Teknologi; dan Kategori 3: Ciptaan Produk Baharu atau Produk Sedia Ada, Proses atau Teknologi oleh Pencipta Muda.
Sementara itu, Pertandingan Junior Pintar dibuka kepada pelajar sekolah menengah bawah Brunei atau bersamaan dengan Tahun 7 hingga Tahun 9, sementara Kategori ASEAN terdiri daripada dua kategori, iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu dan Kategori Pencipta Muda.
Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan kreativiti dan kebaharuan; penggunaan produk akhir, reka bentuk sosial, ekonomi dan lestari, dan laporan serta pembentangan projek.
Penilaian projek yang dihantar akan diadakan dalam dua peringkat bermula dengan penilaian awal, dengan penyertaan yang layak dibenarkan memasuki peringkat penilaian akhir.
Semasa menyampaikan maklumat mengenai peraturan pertandingan, Dr Lim Pang Jen dan Ir Dr Nor Asiah Muhamad juga memberikan nasihat kepada pelajar untuk membantu mereka memikirkan idea kreatif bagi diubah menjadi prototaip yang berfungsi.
Pada akhir forum yang diadakan selepas pembentangan, para hadirin berpeluang bertanyakan soalan dan menrima penjelasan mengenai pertandingan. Video mengenai projek CIPTA sebelumnya juga disiarkan semasa jerayawara.
Bengkel yang sama dijangka diadakan di UTB pada 6 Ogos ini. Dibuka kepada semua sekolah, institusi teknikal dan tertiari, pertubuhan kerajaan dan swasta dan orang awam, tarikh akhir pendaftaran untuk pertandingan CIPTA 2023 adalah pada 9 Januari 2023.