Beriga keselamatan kebakaran di sekolah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan semasa kebakaran, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi Sekolah dan Pengosongan Bangunan yang berlangsung di Sekolah Rendah Junjongan, Kluster 3 pada 15 Februari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, di sini, hari ini, taklimat itu melibatkan lebih 180 orang guru, kakitangan dan murid di mana aktiviti yang dijalankan adalah sesi taklimat keselamatan kebakaran dan latihan pengosongan bangunan.

Sesi taklimat itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai bahaya kebakaran dan keselamatan kebakaran, memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek keselamatan kebakaran di dalam bangunan serta membolehkan interaksi, kerjasama dan menguatkan hubungan antara JBP dengan pihak sekolah.

JBP menyarankan orang ramai untuk meningkatkan lagi kewaspadaan dan aspek keselamatan supaya terhindar daripada berlakunya perkara yang tidak diingini dan sekiranya berlaku sebarang kecemasan hendaklah menghubungi talian kecemasan bomba di talian 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Latihan pengosongan bangunan dijalankan di Sekolah Rendah Junjongan, baru-baru ini. – Gambar serahan JBP